Tuesday, February 19, 2008

Eksperimen Ahmad Idham

IMPAK Maksima The Series? Apa lagi mengenai Impak Maksima?. Sudah tentu, itulah yang menjadi tanya tanya adakah ia menandakan drama bersiri itu diterbitkan pula selepas naskhah yang sama diterbitkan di layar perak?

Telahan sebilangan besar daripada anda tidak silap.

Impak Maksima The Series bakal menemui khalayak di TV3 menerusi slot Aksi setiap Isnin pukul 9 malam.

Kepada peminat sukan permotoran penuh aksi ini jika terlepas menyaksikan filemnya, inilah masanya untuk menghayati setiap aksi drift yang ditonjolkan dalam drama bersiri yang dibintangi oleh Awal Ashaari, Fasha Sandha, Nina Juren, Eizlan Yusof dan ramai lagi.

Menurut pengarah Impak Maksima The Series, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menerusi drama bersiri ini, lebih banyak lagi aksi drift yang ditonjolkannya berbanding dalam filem.

“Dulu saya sendiri kurang arif mengenai kereta dan ketika menghasilkan filem, masa yang diperuntukkan sangat pendek.

“Tapi apabila karyanya diperluaskan kepada drama bersiri, lebih banyak masa yang ada jadi banyak lagi skill drift yang lebih canggih dapat saya pelbagaikan dan tonjolkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, penghasilan drama 26 episod ini diharapkan mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap sukan permotoran ini.

“Dalam drama ini kita terapkan elemen-elemen positif mengenai sukan ini. Ia adalah kerana ramai orang sangkakan berlumba kereta ini tidak mendatangkan faedah dan membuang masa.

“Justeru, saya ingin perbaiki persepsi itu dan menjelaskan banyak perkara yang orang tidak tahu di sebaliknya,” kata pengarah berusia 36 tahun ini lagi.

Lebih banyak plot

Menceritakan perbezaan antara filem dan drama bersiri ini menurut pengarah filem Jangan Pandang Belakang ini, dalam setiap episod lebih banyak konflik yang akan dicetuskannya.

“Jalan cerita hubungan adik-beradik dikekalkan. Segala cerita tentang permotoran dan segala aksi masih ada. Cuma kita tambah lagi lebih banyak plot-plot cerita agar dapat memantapkan lagi penceritaannya serta mewarnai drama bersiri tersebut.

“Penonton akan dapat melihat nanti lebih banyak sengketa yang berlaku, selain cerita cinta yang menghidupkan lagi drama bersiri ini,” jelasnya.

Kata pengarah berjiwa besar ini lagi, berikutan sambutan terhadap filem berkenaan kurang memberangsangkan, lantas beberapa perkara telah diambil kira sebelum penghasilan drama bersiri ini dilakukan.

“Dulu masa buat filem, banyak elemen persekitaran tentang kehidupan warga kota yang ditonjolkan.

“Oleh sebab itu apabila kita kaji balik sambutan di bandar melebihi sambutan di luar bandar. Jadi untuk drama bersiri ini kita mahu menarik penonton dari kedua-dua lokasi dan kerana itu saya terapkan elemen-elemen persekitaran luar bandar dalam drama ini supaya ia tidak kelihatan terlalu urban,” katanya yang berharap drama Impak Maksima The Series ditonton oleh golongan masyarakat bandar dan luar bandar kelak.

Mengenai barisan pelakon yang membintangi drama bersiri tersebut pula, pengarah itu berkata, dia lebih selesa untuk mengekalkan pelakon sedia.

“Namun begitu, sebagai tambahan saya juga tampilkan beberapa pelakon lain untuk menghidupkan lagi drama bersiri ini,” jelasnya.

1 comment:

Aleeya said...

i love impak maksima!!