Thursday, May 15, 2008

ASHRAFF TERKENANG EMAK

harian metro
Oleh Ramlah Zainal

Kata pelakon meningkat naik ini, Allahyarham ibunya, meninggal dunia kerana penyakit kanser, kira-kira tiga tahun lalu.

“Kehilangan ibu masih meninggalkan kesan mendalam pada diri saya. Masih terbayang saat-saat indah ketika bersama ibu dulu. Maklumlah, ibu meninggal dunia ketika saya masih memerlukan kasih sayangnya.

“Justeru, bila ditawarkan berlakon dalam cerita mengisahkan pengorbanan ibu, saya akui sukar menolaknya,” katanya.

Selain itu, kata Ashraff, dia juga tertarik dengan jalan cerita Jangan Lupa yang mempunyai mesej kekeluargaan serta boleh memberi pengajaran pada generasi muda hari ini.

“Mungkin ada yang mengatakan cerita ini ada sedikit persamaan dengan cerita dongeng Si Tanggang tetapi bagi saya, apa yang penting mesej positif yang disampaikan pada masyarakat.

“Saya berharap generasi muda dapat menghayati cerita ini dan seterusnya mengambil iktibar darinya. Jangan Lupa mempunyai tarikan kerana ia memaparkan realiti dalam kehidupan,” katanya.

Antara cabaran dihadapi Ashraff untuk menjiwai watak Amir ialah dia banyak bermain dengan emosi dan perasaan.

“Setiap kali dapat skrip, saya akan memahami jalan ceritanya terlebih dulu. Babak paling sukar ialah ketika Amir putus hubungan dengan Marina dan dihalau teman wanitanya itu. Begitu juga ketika Amir bertemu semula dengan ibu dilupakan selama ini.

“Bagaimanapun, saya dan Kay Maria yang memegang watak ibu dalam telefilem ini mempunyai keserasian. Apatah lagi, Kay ada sifat keibuan yang cukup kuat dan ia memudahkan saya menjiwai watak Amir,” katanya.

Pada masa sama, Ashraff berkata, dia juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan pengarah telefilem itu, Mai Fernandez.

“Mai benar-benar tonjolkan keindahan kawasan kampung seperti dikehendaki dalam cerita ini. Kalau penggambaran di kawasan kediaman daif pula, dia tonjolkan flet yang benar-benar daif,” katanya.

Ashraff ditemui ketika menjayakan sesi fotografi bersama barisan pelakon telefilem Jangan Lupa yang diatur Rap di Balai Berita, baru-baru ini.

Hadir sama, dua lagi teraju utama telefilem itu, pelakon baru Melissa Wong dan Kay Maria. Tidak ketinggalan, Penerbit Eksekutif, Phosumpro! Sdn Bhd, Tan Yin Yin (penerbit telefilem ini) dan pengarah bersama, Janelle Ang Lee.

Melissa, 18, dari Kuala Lumpur yang membawa watak Marina dalam telefilem itu berkata, Jangan Lupa cukup bermakna buat kerjaya lakonannya kerana ia penampilan pertamanya sebagai pelakon.

“Saya menghadiri uji bakat sebelum diterima beraksi dalam telefilem berkenaan. Ia juga memberikan pengalaman cukup berbeza pada saya.

“Watak saya sebagai Marina juga mencabar kerana dia menjadi punca Amir melupakan tanggungjawab sebagai anak pada ibunya.

“Sebagai pelakon baru, pada mulanya saya berasa kekok di lokasi tapi dengan bantuan pengarah dan pelakon berpengalaman seperti Ashraff, saya berusaha menjiwai watak diserahkan sebaik mungkin.

“Babak saya banyak dengan Ashraff dalam telefilem ini. Antara babak paling sukar iketika Marina ingin memutuskan hubungannya dengan Amir selepas mereka tiada persefahaman lagi,” katanya.

Manakala Kay Maria, 40, yang membawa watak ibu bernama Rosmah dalam Jangan Lupa berkata, dia menerima tawaran beraksi dalam telefilem Jangan Lupa kerana tertarik dengan jalan ceritanya.

Kay mengaku tiada masalah menjiwai watak ibu kerana statusnya sendiri ibu kepada tiga anak remaja, Afiq Al Hakim, 19, Afiqah Iffah, 18, dan Afiqah Yusra, 15.

“Cerita ini tidak menampilkan banyak pelakon kerana watak utamanya Amir, Rosmah (ibu Amir) dan Marina.

“Sekalipun sudah banyak berlakon saya juga berhadapan cabaran menjiwai watak Rosmah kerana dia banyak menangis dalam cerita ini. Maklumlah, Rosmah menjadi ibu tunggal selepas kehilangan suami kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Dia juga terpaksa membesarkan anaknya Amir sendirian dalam serba kekurangan.

“Sebagai ibu, sudah pasti hatinya terguris bila anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu melupakan begitu saja apabila berjaya dalam hidup?” katanya. Sebelum ini, Kay pernah membawa watak ibu dalam drama bersiri Durrani (Astro Ria), Bukan Yang Pertama (26 episod) dan Orang Gaji Indon (RTM1).

Sementara itu, pengarah telefilem ini, Mai Fernandez berkata, dia puas hati dengan komitmen barisan pelakon telefilem itu sepanjang penggambaran drama berkenaan.

“Mungkin ada yang bertanya kenapa saya tampilkan muka baru dalam telefilem ini? Sebenarnya, saya ingin memberi peluang pada bakat baru di luar sana yang berbakat besar sebagai pelakon tapi tidak diberi peluang.

“Contohnya, Ashraff, dia adalah pelakon berbakat yang boleh diketengahkan dan Melissa pula bakatnya kami sudah nampak selepas buat uji bakat. Begitu Kay Maria yang sudah banyak berlakon sebelum ini,” katanya.

Mai berkata, Jangan Lupa tidak memfokuskan pada sesuatu kaum sebaliknya ia menggambarkan cerita masyarakat di Malaysia secara keseluruhan.

“Saya akui bukan mudah mencari lokasi sesuai untuk menggambarkan suasana kampung seperti dalam cerita ini. “Dalam tempoh lima hari, kami buat penggambaran di lima lokasi berbeza sekitar Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, hasil kerja berpasukan, kami yakin sudah memberikan terbaik dan tidak menghampakan penonton nanti,” katanya.

Tambah Mai lagi, babak paling dramatik dalam cerita ini ialah bila Amir insaf dan meminta maaf pada ibunya atas kesilapan dilakukan.

“Saya masih ingat lagi, semua orang terdiam dan memberi sepenuh tumpuan ketika kami menjayakan babak berkenaan,” katanya.

Jangan lupa mengisahkan Amir, budak kampung yang dibesarkan ibunya, Rosmah berstatus ibu tunggal. Rosmah sanggup berkorban apa saja memastikan anak kesayangannya itu hidup selesa. Bagaimanapun, bila Amir meningkat dewasa, bekerja di bandar dan mula berkawan rapat dengan gadis kota, Marina, dia mula melupakan asal usul termasuk ibusendiri.

Marina bukan saja menjadi sebahagian daripada hidup Amir malah turut mengubah penampilan Amir dan memperkenalkannya dengan cara hidup mewah dan berprestij.

Jangan Lupa menemui penonton pada 18 Mei ini, jam 10.45 malam di saluran ntv7.

No comments: