Sunday, June 15, 2008

Ashraf Berduet Dengan Sherry Dalam Lagu Tak Kenal Maka Tak Cinta

Dipetik dari Metro Ahad (15 Jun 2008)

Namun, gadis ini lebih selesa apabila rahsia kekal rahsia. Sekalipun diajukan pelbagai soalan, dia tidak mahu membuka cerita sebenar mengenai hubungan ‘intim’ antara dirinya dan Ashraf Muslim.

Bagi Sherry Ibrahim atau lebih senang disapa Sherry, dia tidak kisah jika ada pihak mahu mengatakan dia dan temannya adalah pasangan bercinta. Katanya, dia tidak boleh menghalang persepsi yang dilontarkan umum kepadanya.

“Saya dan Ashraf boleh diibaratkan sebagai teman rapat. Lagipun, kami sama-sama bergelar artis baru yang mahu membina kerjaya dalam industri ini.

“Mungkin apabila terlalu kerap bersama membuatkan umum berpendapat kami bercinta. Pun begitu, saya tidak mahu menyatakan hubungan kami seperti itu kerana hakikatnya percintaan bukan perkara mudah. Lebih-lebih lagi kami sama-sama artis yang sibuk dengan kerjaya.

“Saya tidak nafikan setiap kali berdepan masalah, pasti Ashraf menjadi tempat melepaskan segala bebanan itu. Begitu juga dirinya dan perkara itu menjadikan kami lebih rapat. Jadi, mungkin perkara ini membuatkan peminat dan teman bercerita dan mengatakan kami bercinta. Namun kalau benar sekalipun, mungkin tidak menjadi masalah. Namun, semuanya terpulang kepada soal jodoh,” katanya.


Tambah Sherry, dia dan Ashraf tidak mahu terlalu memikirkan soal cinta itu. Bak kata orang, biar semuanya mengikut peredaran masa.

“Sekarang kami sibuk dengan kerjaya. Sebab itu saya hanya akur dengan apa yang terjadi. Bagi saya, kawan dan cinta dua perkara berbeza. Lagipun, kita sukar kehilangan kawan, tetapi cinta boleh pergi begitu saja.

“Walau apapun terjadi, semuanya kembali kepada soal jodoh. Jika ditakdirkan jodoh antara kami, mengapa tidak,” katanya.

Selain soal cinta yang hangat diperkatakan ramai, gadis berusia 25 tahun ini tidak melupakan kerjayanya. Sebaliknya, Sherry mengorak langkah pula dalam bidang nyanyian yang menjadi minatnya sejak dulu.

“Sebenarnya sebelum bergelar pelakon, saya meminati bidang nyanyian. Kerana rezeki sebagai pelakon hadir dulu, saya melupakan seketika soal menyanyi.

“Kini saya selesa dengan apa yang saya ceburi, rasanya tiba masanya untuk kembali memenuhi minat saya ini. Lagipun, baru kini saya menerima peluang menyanyi.

“Untuk permulaan, saya akan menyanyikan lagu Tak Kenal Maka Tak Cinta yang diberi nafas baru. Lebih menarik, saya akan berduet bersama Ashraf untuk lagu ini.

“Lagu ini akan dirakam tidak lama lagi dan dimuatkan dalam mini album bagi menguji pasaran. Jika ada rezeki, saya akan tampil dengan album penuh. Cuma sekarang biar masa menentukannya,” katanya.

Tambah Sherry, sekalipun dia cuba melebarkan sayap ke bidang nyanyian, bidang lakonan tetap tidak dilupakan. Katanya, dia akan cuba mengimbangkan kedua-dua bidang itu.

“Seperti saya katakan tadi, bidang seni suara adalah minat saya. Disebabkan rezeki berlakon datang dulu, saya utamakan yang mana dulu.

“Kini, saya cuba melebarkan sayap demi mencari pengalaman. Lagipun, tak salah rasanya untuk saya dikenali sebagai artis versatile,” katanya.

Terbaru, Sherry bakal memeriahkan Karnival Kembara Metro Ahad yang akan diadakan di Sungai Petani, Kedah pada 21 Jun ini. Menurut Sherry, dia tidak sabar untuk bersama-sama peminat menjelang hari kemuncak karnival itu.

“Bagus juga Metro Ahad mengadakan aktiviti riadah seperti ini. Selain dapat mengumpulkan pembaca, mereka dapat beriadah dan berehat bersama keluarga dan rakan.

“Begitu juga buat kami sebagai rakan artis yang dijemput memeriahkan suasana. Jelas sekali, ini antara peluang merapatkan diri dengan peminat,” katanya yang turut berkonvoi satu kereta bersama Que Haidar.

No comments: