Wednesday, June 11, 2008

Majlis "perkahwinan" Serina meriah!

Majlis "perkahwinan" Serina meriah!
Oleh: Wahida Asrani

Petikan dari MstarOnline

Bagi mereka yang hadir ke Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan minggu lepas, pasti dapat merasakan kemeriahan majlis perkahwinan di antara pelakon jelita Serina Redzuawan dan model Ashraf Muslim.

Majlis yang diadakan selama dua hari iaitu pada 18 dan 20 Mei lepas bukan saja dilakukan di dalam suasana perkahwinan diraja Perak, malah turut dihadiri oleh lebih 1000 delegasi asing yang rata-ratanya adalah penggiat industri makanan.

Serina dan Ashraf Muslim di majlis "adat berinai" di Palace of the Golden Horses baru-baru ini (Foto: The Star)

Ternyata "lakonan" yang dipamerkan mereka sebagai pasangan pengantin diraja ini membuatkan ramai delegasi luar yang hadir ke sana sempena Gourmand World Media Awards 2005 amat tertarik dengan keindahan budaya Melayu yang penuh dengan adat tradisi.

"Sebenarnya, saya hanya jadi model untuk majlis perkahwinan diraja perak yang dilakukan sempena Gourmand World Media Awards, sebuah majlis gourmet baru-baru ini. Bukan kahwin betul-betul tau!," ujar pelakon yang berusia 22 tahun ini.



Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena majlis berprestij itu yang berlangsung pada 17 hingga 21 Mei lepas, antaranya pameran buku masakan, persidangan, penyampaian anugerah buku masakan serta persembahan kesenian warisan Malaysia.

Serina telah digandingkan bersama Ashraf untuk mempersembahkan adat perkahwinan diraja Perak termasuk upacara adat berinai dan bersanding, yang merupakan antara budaya Malaysia yang ditonjolkan pada majlis itu. Turut dipersembahkan adalah kebudayaan Minangkabau dan Baba Nyonya.

"Saya gembira dapat turut serta di dalam majlis gilang-gemilang ini. Sebenarnya, ayah yang minta saya untuk jadi model memandangkan dia juga adalah orang kuat untuk majlis itu.

"Saya terima tawaran ini kerana rasakan ia satu peluang untuk perkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar. Bagi saya inilah satu sumbangan yang saya mampu berikan untuk negara," kata Serina lagi.

Bercerita mengenai pengalamannya "dikahwinkan" di hadapan ribuan tetamu dan delegasi asing yang hadir, Serina berkata ia satu pengalaman yang cukup manis dan tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.

"Tak ada sebarang rehearsal pun. Saya terus datang pada hari tersebut untuk jadi model. Hari tu jugalah saya berjumpa Ashraf buat pertama kalinya.

Chef Wan turut menepung tawar pasangan "pengantin" ketika majlis persandingan (Foto: The Star)

"Macam-macam perkara yang melucukan ketika majlis persandingan tu terutama waktu upacara menepung tawar. Ada yang terus campak saja beras tepung tawar tu pada kami dan air mawar tu pun habis mereka renjiskan sampai ke kepala kami.

"Tapi, seronok sangat. Kita pun fahamlah mereka memang tak biasa dengan adat kita," tambahnya.

Menurut Serina lagi, pengalaman bersanding itu juga telah membukakan matanya tentang majlis persandingan yang dianggapnya satu perkara yang agak rumit.

"Ketika duduk atas pelamin tu, terus saya bayangkan bagaimanalah nanti bila persandingan saya
Serina nampak ayu dengan persalinan pengantin diraja Perak (Foto: The Star)

yang betul-betul. Bukan apa, saya ni jenis yang suka bercakap, sedangkan ketika bersanding pengantin kena duduk senyap saja.

"Masa tu pun saya sempat curi-curi bercakap dengan Ashraf sebab dah tak larat nak duduk senyap je," kata Serina ketika menceritakan pengalamannya menjadi pengantin diraja.

Apa yang penting, menurut Serina, majlis itu benar-benar memberi banyak manfaat kepada dirinya, walaupun penglibatan dan sumbangannya mungkin kecil untuk sebuah majlis bertaraf dunia itu.

"Ada juga yang tahu saya ni seorang artis dan datang bertanya macam-macam pada saya.

"Memang gembira, tapi bagi saya lebih membanggakan jika mereka pulang ke negara masing-masing dan dapat ceritakan tentang adat dan budaya kita kepada keluarga dan kenalan mereka," katanya lagi yang kini sedang sibuk dengan bidang lakonan dan pengacaraan.

No comments: