Wednesday, July 30, 2008

VIDEO PROMO TEATER PATRIOT ASHRAF MUSLIM

ASHRAF MUSLIM DITEMUBUAL DALAM NONA TV3

Monday, July 28, 2008

Cabaran Patriot

Oleh Rozdan Mazalan
Berita Harian

Gagal bentuk watak di pentas boleh jejaskan pementasan dan tidak dapat diulang kembali

OGOS adalah bulan yang ditunggu-tunggu perajurit negara. Bulan yang akan sentiasa dikenang selamanya pejuang negara apabila tanah air tercinta bebas dari cengkaman penjajah.

Pelbagai acara juga disusun setiap pihak yang bertanggungjawab untuk meraikan bulan kemerdekaan ini termasuklah Istana Budaya yang akan mementaskan Teater Muzikal Patriot mulai hari ini sehingga 3 Ogos depan.

Baru-baru ini, pelakon yang juga menjadi tunjang utama dalam pementasan itu dibawa sendiri menikmati suasana hutan yang mampu dijadikan inspirasi untuk dipersembahkan menerusi teater itu nanti. Pendekatan itu sekali gus memberi mood kepada pelakon untuk membangkitkan semangat dan menghayati watak yang dipertanggungjawab kepada mereka dengan lebih berkesan lagi.

Ashraf Muslim biarpun seorang pendatang baru dalam arena teater, namun pengalaman yang dilalui dalam bidang drama sebelum ini banyak membantu untuk mendapatkan penghayatan yang baik.

“Teater dan drama adalah salah satu bidang yang sama, namun masih mempunyai perbezaan yang ketara dari segi persembahannya. Bagi saya teater lebih susah berbanding drama.

“Segala yang berlaku di pentas adalah cermin apa yang kita usahakan selama ini. Gagal membentuk watak di pentas maka gagallah pementasan itu dan tidak akan dapat diulang kembali,” katanya yang mendapat skrip tiga minggu sebelum pementasan berlangsung.

Menurut Ashraf, teater Patriot menjadi cabaran besar buatnya memandangkan masa yang singkat untuk dirinya menghayati watak bakal mengujinya.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih selain menghafal skrip. Secara jujur saya banyak mendapat bantuan pengarah artistik, Lokman Ghani yang juga bapa saudara saya.

“Saya juga mula meminati teater ini atas desakannya yang banyak memberi pendedahan untuk menonton teater sebelum ini. Teater pertama yang saya tonton adalah Cheng Lock yang diarahkannya. Sejak itu saya mula meminati teater dan sempat juga saya bertanyakan dia kalau ada peluang untuk mencuba.

“Saya diuji dengan teater Patung-Patung yang baru dipentaskan awal tahun ini dan pengalaman itu cukup manis buat saya kerana terpaksa menjadi seorang pondan.

“Pada mulanya saya terkejut dan agak ragu-ragu untuk membawa watak itu memandangkan saya bukan orang yang macam itu. Tetapi apabila difikirkan pelakon lain pun yang bukan mempunyai jiwa macam itu tetapi berani menyahut cabaran maka saya beranikan diri untuk mencuba. Alhamdulillah saya juga tidak sangka kritikan positif saya terima dari kawan-kawan,” katanya yang memegang watak sebagai Yahya dan pernah ditauliah Leftenan Muda pada tahun 2001.

Patriot teater patriotik ketiga Syukor

SEORANG lagi pelakon, Muhamad Syukor Ibrahim yang juga memegang watak sebagai Yahya berganti-ganti dengan Ashraf bagaimanapun mempunyai pengalaman berbeza biarpun Patriot adalah teater patriotik ketiga lakonannya.

“Saya bermula dengan teater patriotik pertama berjudul Kesuma (2006) dan Tunku The Musical (2007), namun saya juga banyak mengikuti beberapa teater lain lagi yang tidak mempunyai unsur patriotik.

“Setiap teater mempunyai perbezaan, kekuatan dan cabaran tersendiri. Teater patriotik sebelum ini banyak menguji diri saya berkaitan vokal yang memaksa saya turut menyanyi.

“Kekuatannya apabila membawakan teater berbentuk patriotik kita harus menggunakan suara seriosa (baritone) yang selalu digunakan pelakon teater antarabangsa,” katanya yang dipilih semasa sesi uji bakat disebabkan kekuatan suaranya menepati teater patriotik.

Sementara, Zila Bakarin yang membawakan watak kecil sebagai Som, gadis kampung turut memainkan peranan yang penting dalam pementasan Patriot.

“Biarpun watak saya terlalu kecil namun saya percaya pengarah mempunyai sesuatu yang ingin disampaikan dalam pementasan itu dan sebab itu watak Som dimasukkan biarpun hanya untuk dua babak saja.

“Saya mula mendapat tawaran untuk pementasan itu sejak Februari lalu dan berlatih seperti biasa. Bagaimanapun untuk bulan terakhir ini saya mula menolak beberapa tawaran berlakon drama untuk menumpukan kepada latihan teater ini.

“Saya berharap dengan watak kecil seperti ini, saya masih mampu menyumbang sesuatu yang besar kepada penonton yang menyaksikan,” katanya.

SINOPSIS:

TEATER muzikal ini memaparkan perjuangan wira negara yang bernama Yahya. Pengorbanannya mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama sehingga namanya disanjung tinggi masyarakat.

Disamping mempertahankan negara daripada jajahan komunis, Yahya juga tidak terlepas mempunyai perasaan terhadap seorang gadis di kampungnya bernama Sapura.

Perhubungannya tidak mendapat restui bapa Sapura memandangkan Yahya seorang pemuda miskin. Bapa Sapura lebih mempercayai Zulkifli sepupu kepada Sapura untuk dijodohkan pasangan ini suatu hari nanti.

Dapatkah perhubungan Yahya dan Sapura diakhiri di jenjang pelamin atau cinta Zulkifli diterima Sapura.

INFO:

Pementasan Teater Muzikal Patriot yang dipentaskan sempena sambutan bulan kemerdekaan selain Kempen Rayuan Hari Pahlawan 2008 akan berlangsung mulai hari ini sehingga 3 Ogos 2008 bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya bermula jam 8.30 malam.

Patriot yang diterbitkan Aleena Communications Sdn Bhd turut mendapat kerjasama Istana Budaya. Ia diarahkan oleh Rahman Adam dan Lokman Ghani dan turut mendapatkan khidmat Datuk Suhaimi Md Zin (Pak Ngah) selaku pengarah muzik.

Antara pelakonnya seperti Raja Farah, Syarmila Rabbi, Mahmud Ali Basha, Zaibo, Datuk Jalaludin Hassan, Baharudin Omar, Zek Taipan, Mama Rina (AF), Aishah Atan dan ramai lagi.

Tiket untuk menyaksikan pementasan ini boleh didapati di box office Istana Budaya dengan menghubungi 03-40248715 atau 03-40265558. Tempahan juga boleh dibuat dengan melayari laman web www.istanabudaya.gov.my.

Tiket dijual dengan harga bermula RM20, RM30, RM50 dan RM150.

Sunday, July 27, 2008

Muzikal Patriot sempena bulan kemerdekaan

Posted: 26 Jul 2008 01:51 PM CDT

BUKAN mudah menggarap sebuah kisah perang dalam satu pementasan teater muzikal. Namun itulah cabaran yang ingin direalisasikan oleh Rahman Adam dalam pementasan Patriot yang dipentaskan mulai 29 Julai hingga 3 Ogos di Istana Budaya.

Rahman berkata, dia cuba bereksperimen dengan menggabungkan elemen perang dan muzikal dalam usaha memberikan kepuasan kepada khalayak.

Ini kerana, bukan semua penonton suka menyaksikan cerita perang yang agresif semata-mata dan ada kelompok yang gemarkan pengaruh pementasan muzikal.

“Justeru saya cuba memberikan sentuhan terbaik untuk menggabungkan kedua-dua elemen tersebut dan kini latihan untuk menjayakan teater ini sedang rancak dijalankan,” kata Rahman ketika dihubungi petang Rabu lalu.

Menurut pengarah itu, pementasan bagi mengutip derma sempena Rayuan Hari Pahlawan 2008 selain meraikan bulan kemerdekaan dan Hari Angkatan Tentera itu akan dijayakan oleh Shukor Ibrahim dan Ashraf Muslim bagi memegang watak utama, Leftenan Yahya dan Raja Farah sebagai Safura selain Datuk Jalaluddin Hassan, Mahmud Ali Bashah, Zaibo, Zila Bakarin dan Baharuddin Omar.

“Malah Mama Rina AF6 juga buat pertama kalinya akan berlakon dan menjayakan pementasan ini. Saya dapati walaupun pertama kali berlakon, sepanjang latihan dia berjaya memindahkan imej rocknya kepada seorang ibu yang penyayang dan penyedih,” ujarnya yang menulis sendiri skrip pementasan tersebut.

Dibantu oleh Lokman Ghani sebagai pengarah artistik dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) sebagai pengarah muzik, Patriot yang menceritakan tentang perjuangan dan pengorbanan orang Melayu ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua diterbitkan oleh Aleena Communications Sdn. Bhd. dan dinaungi oleh Datin Seri Jeanne Abdullah dan dipengerusikan oleh Laksamana (B) Tan Sri Anuar Mohamad Nor.

Pementasan tersebut mendapat kerjasama dan sokongan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pertahanan. Kemuncak pementasan pada 3 Ogos dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Patriot mengisahkan tentang seorang pegawai muda Askar Melayu, Leftenan Yahya yang menentang tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua bersama-sama dengan pasukan askar bersekutu dari Australia dan British.

Menyintai gadis sekampung bernama Safura namun kedua-dua ibu bapa Safura mahu menjodohkandengan Zul yang juga merupakan sepupunya yang kaya raya.

Zul pula bersekongkol dengan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) dan bila perang tamat, dia menjadi orang kanan ketua komunis.

Yahya pula apabila tahu gadis idamannya ditunang dan dikahwinkan dengan orang lain telah pergi berjuang menentang komunis dan akhirnya terkorban sebagai patriot.

“Pementasan ini bertemakan cinta namun ia bukan semata-mata mengenai kisah antara dua insan tetapi lebih utama cinta kepada negara,” jelas Rahman.

Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM80, RM100, RM130 dan RM180 dan sebarang keterangan lanjut, kunjungi laman web www.istanabudaya.gov.my atau e-mel kepada www.ticket2u.biz atau hubungi 03-40265558.

TEATER 'PATRIOT' SEMPENA HARI PAHLAWAN

Sempena sambutan Hari Pahlawan yang bakal tiba tidak lama lagi, Sekretariat Rayuan Hari Pahlawan telah merancang untuk mengadakan persembahan teater muzikal 'Patriot,' bagi mengisi tabung membantu perajurit.

Teater muzikal 'Patriot' akan dipersembahkan di Istana Budaya pada 29 Julai hingga 3 Ogos. Ianya dibawakan khas oleh Aleena Communication Sdn Bhd dan kerjasama dari Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Menurut pengarah juga penulis skrip bagi teater ini, Encik Ab. Rahman Adam, cerita ini berdasarkan semangat patriot yang ada dalam diri setiap pejuang.

“Bahkan, watak Yahya Ariffin merupakan satu metafor kepada semangat perjuangan itu,” tambahnya yang telah sekian lama tidak mengarah persembahan teater. Kali terakhir Ab. Rahman Adam mengarahkan teater ialah pada tahun 1968, teater 'Kubu Ketapang' di Victoria Theater, Singapura.

Sementara itu, bagi Ketua Pengarah Istana Budaya, pada musim ini, Istana Budaya membuat satu kelainan apabila menampilkan persembahan mengikut tema berkaitan.

“Sebagai contoh, untuk ulang tahun kemerdekaan ke 51 dan sambutan Hari Pahlawan, teater muzikal 'Patriot' akan dipersembahkan sesuai dengan tema tersebut. Ini tidak pernah dilakukan oleh Istana Budaya sebelum ini,” ulasnya dengan lebih lanjut.

Bagi pengarah teater 'Patung Kertas,' saudara Lokman Ghani, tugasnya untuk teater muzikal 'Patriot' agak berbeza. Kali ini, dia dilantik sebagai pengarah artistik, mengurus dari sudut props, pakaian dan sebagainya.

“Ini merupakan kali pertama saya melaksanakan tugas ini. Untuk teater ini, ianya memerlukan keperincian dan ketelitian, ia disebabkan teater 'period' memerlukan penyelidikan dan kajian,” ujarnya yang pernah mengarah teater 'Bukit Kepong.'

“Selain itu, pihak produksi akan membuat kejutan kepada penonton yang menonton persembahan teater. Kami juga mendapat kerjasama beberapa pihak bagi kenderaan tentera untuk merealisasikan persembahan nanti,” tambah Lokman lagi.

Bagi peminat-peminat Raja Farah pula, mereka pasti tidak sabar menanti kemunculan kali pertamanya di pentas teater. Pelakon yang baru berusia 20 tahun ini bakal membawa watak Safura, seorang gadis lemah lembut yang menjadi rebutan dua jejaka iaitu Yahya Ariffin dan Zulkifli.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam teater. Tawaran telah dibuat dua bulan dahulu. Bila difikirkan ingin mencuba sesuatu yang baru, maka, saya pergi ke uji bakat yang dibuat oleh pengarah, Encik Ab. Rahman Adam.”

“Namun, tidak sangka sama sekali, watak Safura telah ditawarkan kepada saya,” jelasnya dalam nada cukup gembira.

Dia ditanya apakah perbezaan berlakon filem dengan teater, Raja Farah berkata “Dari segi komitmen, teater memerlukan lebih tenaga, masa dan konsentrasi berbanding filem atau drama. Namun, jika dibandingkan dari aspek yang lain seperti skrip, pelakon teater mempunyai kelebihan kerana sering berlatih berdasarkan skrip yang sama setiap hari. Jadi, masalah tidak ingat skrip agak jarang berlaku.”

Jika sebelum ini, peminat-peminat tidak pernah melihat raja Farah menyanyi, teater 'Patriot' menjadi medan ujian untuknya menyampaikan nyanyian.

“Di dalam 'Patriot' saya perlu menyanyi untuk dua buah lagu solo dan sebuah duet. Pada mulanya, pengarah bertanya kepada saya samada ingin menggunakan penyanyi latar, atau suara sendiri. Akhirnya, memikirkan peluang yang ada, saya menggunakan suara sendiri,” ulasnya yang baru mengikuti kelas vokal untuk menyampaikan lagu dalam teater ini.

Di dalam teater 'Patung Kertas,' Ashraf Muslim membawakan watak sebagai Adik Chu, seorang mak nyah yang hidup di kota Kuala Lumpur. Namun, sekali lagi, dia mengambil peluang yang ditawarkan dengan memegang watak sebagai Yahya Ariffin di dalam produksi ini.

Yahya Ariffin merupakan seorang pemuda yang mempunyai semangat juang dalam mempertahankan negara dari penjajah. Namun, di sebalik ketangkasan dan semangat keperwiraan di dalam sanubarinya, masih ada nilai kasih sayang kepada kekasih hatinya, Sapura.

Ashraf Muslim diminta mengulas mengenai watak tersebut, ketika ditemui pada perlancaran teater 'Patriot' baru-baru ini.

“Jika hendak dikatakan ianya watak yang mencabar, bagi saya watak Adik Chu di dalam “Patung Kertas' lebih berat lagi. Lagipun, saya memang mempunyai latar belakang berkaitan ketenteraan semasa menuntut di universiti dulu. Bahkan, untuk produksi ini, saya juga terlibat mengajar pelakon lain berkawad,” terangnya.

Untuk menjiwai watak Yahya Ariffin ini pula, Ashraf menonton filem-filem berkaitan perjuangan seperti 'Bukit Kepong' dan 'Leftenan Adnan.' Ini merupakan filem yang menjadi rujukan utama bagi watak ini.

Dari satu pentas teater ke pentas yang lain, menjadikan dirinya cukup sinonim dengan dunia persembahan ini. Ashraf diminta menjelaskan antara lakonan dalam drama dan pementasan teater, yang mana lebih memberi satu kepuasan kepadanya.

“Saya akui, jiwa saya sekarang amat meminati pementasan teater. Ia umpama satu ketagihan kepada saya. Selepas sebuah teater, saya ingin terlibat lagi. Cukup memberi kepuasan. Tapi, ianya tidak bermakna saya akan terus meninggalkan dunia lakonan drama,” tambah Ashraf yang bakal berlakon di dalam sebuah drama seram terbaru arahan pengarah yang cukup dikenali.

Selain berlakon di dalam teater ini, Ashraf Muslim juga akan turut sama mendendangkan beberapa buah lagu termasuk sebuah lagu duet bersama pendatang baru dunia teater, Raja Farah.

Sebenarnya, teater muzikal 'Patriot' ini mempunyai keunikkan tersendiri. Jika Raja Farah diambil sebagai peneraju utama, walaupun baru menapak dalam bidang teater, Mama Rina, peserta paling tua di dalam sebuah program realiti televisyen juga sama-sama menonjolkan bakatnya dalam bidang ini.

Berbicara bagaimana dia boleh melibatkan diri dalam bidang seni teater ini, Mama Rina berkata, “Semuanya bermula apabila sekadar 'main-main' bertanya kepada sahabat saya, Lokman Ghani (Pengarah Artistik 'Patriot'), jika ada peluang untuk berlakon teater. Namun, Mama tidak sangka, gurauan itu menjadi realiti, apabila Lokman memanggil saya untuk diujibakat. Syukurlah, saya diterima,” ujarnya gembira.

Kala ditanya apakah perasaan kali pertama bukan sahaja dalam bidang teater, tetapi lakonan, dia menjawab “Perasaan Mama bercampur baur, takut ada, suka pun ada. Tapi Mama anggap ianya sebagai satu cabaran, dan akan buat yang terbaik.”

Selalu menjadi persoalan ialah usia. Adakah Mama Rina tidak merasakan sudah agak lanjut untuk terlibat dalam bidang ini, kerana memerlukan dia belajar pelbagai perkara, tuturnya, “Rasa Mama, kalau hendak mencari ilmu, tidak kisah berapa usia pun. Mama tidak reti hendak malu. Rezeki perlu dicari untuk menyara keluarga. Zaman dah berubah,” ajuknya sebuah iklan di televisyen.

Teater muzikal 'Patriot' yang bakal ditayangkan pada penghujung Julai sehingga awal Ogos ini bukan sahaja mempunyai keistimewaan dari sudut jalan cerita dan kejutan yang bakal penonton alami, bahkan, ianya membariskan nama-nama besar dalam industri hiburan tanahair.

Antara mereka yang terlibat ialah Raja Farah, Ashraf Muslim, Ziela Bakarin, Mahmud Ali Basha, Zaibo, Dato' Jalaluddin Hassan, Zek Taipan, Aishah Atan, Baharuddin Omar dan ramai lagi.

'Patriot' memaparkan perjuangan wira negara bernama Yahya Arifin, sanggup berkorban demi negara. Pengorbanan yang terselit di tengah-tengah kisah cinta antara Yahya dan Sapura.

Namun, perhubungan mereka terhalang oleh orang ketiga iaitu Zulkifli. Adakah disebabkan ini, semangat perjuangannya terpadam di tengah perjuangan dan dapatkah mereka melayari hidup bahagia selama-lamanya?

Saksikan, teater muzikal 'Patriot' yang bakal ditayangkan kerana “Cinta memerlukan pengorbanan; hanya mereka yang rela berkorban tahu akan erti cinta yang sebenarnya...”

Tuesday, July 22, 2008

Patriot di Istana Budaya 29 Julai hingga 3 Ogos

Dipetik dari Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 21 Julai – Teater muzikal Patriot yang menceritakan tentang perjuangan dan pengorbanan anak-anak Melayu ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya selama enam hari mulai 29 Julai ini.

Ia, yang diarah oleh Rahman Adam yang juga menulis skripnya dan diterbitkan oleh Arena Communications Sdn. Bhd., turut memuatkan kisah cinta antara watak utamanya Yahya, seorang pegawai askar Melayu dengan kekasihnya Sapura, tetapi akhirnya percintaan mereka terputus di tengah jalan apabila Sapura terpaksa memilih pemuda lain sebagai suaminya.

Antara yang membintangi teater ini ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Farah, Muhamad Syukor Ibrahim dan Ashraf Muslim.

Teater yang turut disokong oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ini turut menampilkan kehebatan lagu-lagu ciptaan Datuk Suhaimi Md. Zain yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah sebagai pengarah muzik dan Lokman Ghani sebagai pengarah artistik.

Monday, July 21, 2008

ASHRAF MUSLIM KINI 'GIAN' BERTEATER

21-07-2008 10:47:46 AM

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

SELEPAS membintangi teater Muzikal Patung Kertas, aktor Ashraf Muslim semakin 'gian' untuk berlakon teater lagi. Lantas, tawaran kedua untuk berlakon Teater Muzikal Patriot tidak dilepaskan begitu sahaja.

Ashraf berkata, “Setelah saya berlakon dalam teater, saya mula rasa ketagih untuk berlakon lagi. Ia macam candu. Selepas saya mencuba sekali, saya jadi ‘gian’ untuk berteater lagi.

“Berlakon dalam teater lebih memberi kepuasan kepada diri saya berbanding berlakon dalam drama. Insya Allah, saya akan terus berteater selagi diperlukan..”.

Jika sebelum ini, jejaka berusia 27 tahun ini melakonkan watak lelaki lembut atau mak nyah melalui teater pertamanya itu. Kali ini beliau diberi watak lelaki sejati iaitu seorang tentera Melayu yang berjuang di medan perang lingkungan era 40-an sehingga 60-an.

Namun begitu, Ashraf akui berlakon dalam Patriot lebih mudah berbanding Patung Kertas arahan Lokman Ghani.

"Watak Yahya Ariffin ini lebih kurang macam watak Leftenan Adnan. Wataknya lebih berkarisma sebab dia anak sulong. Tetapi apabila dia berjumpa dengan Sapura (Raja Farah), dia berubah menjadi manja.

"Dalam teater ini, akan ada babak saya masuk hutan. Kemudian, saya balik kampung dan menyatakan keinginan untuk berkahwin dengan Sapura.

"Namun, akhirnya dia rasa sedih dan tercabar apabila Sapura dinikahkan dengan sepupunya, Zulkifli (Mahmud Ali Basha). Jadi, ketika berperang, Yahya akan melepaskan perasaan marah dan geramnya," cerita Ashraf yang menerima watak tersebut kerana beliau merupakan bekas askar.

Kata Ashraf, beliau pernah bergelar Leftenan Muda selama setahun. Selepas itu, beliau melibatkan diri dalam perniagaan.

“Bila melihat keadaan diri saya, mungkin orang tak percaya yang saya pernah menjadi tentera dahulu.

“Tetapi, saya memang jenis gentleman, soft spoken kerana saya sudah diajar seperti itu. Sesuai dengan lakonan saya di dalam teater ini,” kata Ashraf.

Menyentuh tentang persediaan dan rujukan yang dibuat bagi memantapkan lakonan di dalam teater ini, Ashraf berkata, beliau membaca sejarah tentang Leftenan Adnan dan Bukit Kepong. Beliau juga banyak mengkaji tentang kisah benar Yahya yang orang tidak gembar-gemburkan.

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapinya, kata Ashraf, beliau baru dipanggil untuk berlakon dalam teater tersebut beberapa hari lalu.

“Ikutkan, pelakon sebenar watak Yahya adalah Muhamad Syukor Ibrahim. Tetapi, beliau sedang sakit sekarang. Jadi, saya mungkin akan bergilir-gilir dengannya untuk membawakan watak Yahya nanti.

“Bagaimanapun, saya tetap rasa ini merupakan tanggungjawab yang berat kerana ia ada kaitan dengan kisah benar. Saya takut kalau saya membuat silap. Jadi, saya banyak bertanya kepada Lokman dan Rahman,” jelasnya yang memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk menghayati sesuatu watak.

Ashraf juga menambah, “Ada dua babak sedih yang saya rasakan sukar untuk lakonkan. Jadi, saya perlu bayangkan wajah orang yang membuatkan saya sedih seperti watak Zulkifli dan Sapura.

“Itu yang saya belajar di dalam teater ini. Contohnya, saya bertanyakan kepada Zaibo, Rahman dan Lokman,” ujar pelakon drama bersiri Renjis di Astro Ria ini.

Ditanya tentang gandingannya bersama Farah, rasanya tidaklah timbul rasa kekok antara satu sama lain memandangkan Ashraf pernah bertemu dengan Farah di lokasi pengambaran drama bersiri Manjalara dahulu.

“Dalam teater ini, saya masih baru hendak mencari keserasian dengan Farah. Kadangkala, saya kena create skrip sendiri agar ada sense of humor antara kami,” beritahu Ashraf yang sedang intim dengan pelakon Sherry.

Selain membahagikan masanya untuk berlakon dalam Patriot, Ashraf juga perlu pandai meluangkan masa untuk berlakon dalam drama Dari Mata Arisa.

“Saya rasa stress juga apabila banyak benda nak tumpu sekarang,” luah Ashraf ringkas.

Selepas selesai berlakon dalam teater Patriot, Ashraf akan melakonkan watak seorang ustaz dalam sebuah drama untuk slot Seram arahan Ahmad Idham yang akan bermula pada bulan depan dan dijangka selesai pada September nanti.

Kata Ashraf, hubungannya dengan Sherry masih sama seperti dahulu dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Kami merancang untuk berduet bersama. Lagu duet yang kami nyanyikan akan dimuatkan dalam album Roy and Friends.

“Saya rasa tiada masalah untuk menyanyi dengannya kerana kami pernah karaoke bersama,” ujar Ashraf.

Saksikan Ashraf Muslim, Raja Farah, Zila Bakarin, Datuk Jalaluddin Hassan, Mama Rina AF6 dan ramai lagi dalam Teater Muzikal Patriot di Istana Budaya mulai 29 Julai ini hingga 3 Ogos depan.

Friday, July 18, 2008

TEATER PATUNG KERTAS AKAN DIFILEMKAN

TEATER MUZIKAL PATUNG KERTAS akan difilemkan. Antara pelakonnya ialah Aznil Nawawi... dan beberapa pelakon lain yang masih dalam perbincangan.

Ahmad Idham dijangkakan akan mengarahkan filem ini.

Adakah Ashraf Muslim akan membintangi filem ini? Sama-sama kita tunggu.

ASHRAF MUSLIM BAKAL BERLAKON DALAM DRAMA NIYANG RATIP AHMAD IDHAM

Menurut wartawan paling kontroversi... Azwan, Ashraf Muslim akan menjalani pengambaran Drama Niyang Ratip arahan Ahmad Idham. Pengambaran akan bermula pada awal Ogos 2008.

Ashraf Muslim memegang watak utama dalam drama ini. Drama ini memerlukan kriteria dan watak pemuda yang pandai mengaji Quran. Ramai yang tidak sangka, Ashraf Muslim dapat mengaji Quran dengan baik.

Wednesday, July 16, 2008

Sekitar Majlis Pelancaran Teater Muzikal PATRIOT

"Cinta memerlukan pengorbanan"


'Hanya mereka yang rela berkorban tahu akan erti cinta yang sebenarnya.."


Semalam 15 Julai 2008, telah berlangsung Majlis Pelancaran Teater Muzikal Patriot di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selain pengarah Rahman Adam dan pengarah artistik Lokhman Ghani, para pelakon juga turut hadir memeriahkan majlis. Sebanyak 3 babak telah dipertontonkan kepada media.



Teater ini diterbitkan bagi mengumpul dana untuk rayuan Hari Pahlawan tahun 2008. Aleena Communication Sdn Bhd telah dilantik untuk menerbitkan teater ini oleh Sekretariat Rayuan Hari Pahlawan Tahun 2008. Teater ini mendapat sokongan padu dari Istana Budaya dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Malaysia.

Teater yang berdurasi selama dua jam ini akan dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 29 Julai hingga 3 Ogos 2008 ini. Ianya bertujuan untuk menyemai semangat patriotik di kalangan masyarakat. Dibintangi oleh pelakon ternama seperti Raja Farah, Muhammad Syukor Ibrahim, Ashraf Muslim, Dato' Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Mahmud Ali Basha, Zaibo dan ramai lagi.

Sebenarnya, kerja-kerja pra-produksi telah pun dimulakan sejak Disember 2007 yang lalu. Teater arahan Rahman Adam yang juga turut menjadi penulis skrip turut menampilkan kehebatan lagu-lagu ciptaan dan sentuhan Datuk Suhaimi Md Zain (Pak Ngah) sebagai Pengarah Muzik, sementara Lokman Ghani yang berpengalaman mengarah teater hebat seperti Tikar Mengkuang, Bukit Kepong, Muzikal Cheng Lock dan banyak lagi adalah Pengarah Artistik untuk teater ini.

Teater ini mengisahkan keperwiraan seorang anak watan berjuang membela kedaulatan tanahair. Patriot akan mengekploitasi pentas canggih dan luas Istana Budaya seperti beberapa adegan pertempuran dalam Perang Dunia Kedua dan suasana serangan pengganas komunis ketika zaman darurat.

Teater yang membawakan kisan pengorbanan cinta darah dan air mata ini telah pun dilancarkan di Lambang Sari IB pada 26 Februari 2008. Ia dijangka dipentaskan di beberapa buah negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai salah satu acara sambutan Hari Kemerdekaan ke-51.

Penerbit Teater Muzikal Patriot, Brig. Jen. (B) Dato' Nik Mohd Zaaba berharap peminat seni teater tanahair dan orang ramai akan memberi sokongan dengan hadir menonton sambil menderma kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2008.

Pengarah Rahman Adam kata:

Bukan wang atau keuntungan yang menjadi sasaran tetapi untuk teater ini diadakan untuk mengutip derma bagi tabung pahlawan. Terima kasih kepada IB kerana sudi memberi peluang dan Lokman Ghani atas komitmen tak berbelah bagi."

Ucapan dari wakil IB:

"Tahun ini ada kelainan pementasan kerana tema pementasan ini sangat cantik untuk mengisi kekosongan untuk slot sambutan kemerdekaan. Diharapkan IB akan terus ceria dengan pementasan ini."

Lokman Ghani kata:

"Ini adalah kali pertama saya fokus kepada aspek artistik untuk membantu teater ini nampak lebih menarik dan banyak idea kreatif telah difikirkan. Cabaran kami adalah untuk memberikan gambaran kepada penonton suasana sebenar era tersebut. dari segi prop, kostum, kita akan buat kejutan dan akan mengusung bangkai helikopter d.

SINOPSIS TEATER MUZIKAL PATRIOT
Teater muzikal ini memaparkan perjuangan wira negara bernama Yahya yang sanggup berkorban demi negara. Pengorbanan perwira negara ini menyelitkan kisah cinta antara Yahya dan Sapura. Bapa Sapura lebih memandang kepada harta kekayaan berbanding ketulusan cinta anak muda. Tiba-tiba Zulkifli muncul dengan restu bapa.

Apakah sumpah setia antara Yahya dan Sapura akan berjaya melayari bahtera rumahtangga?

TEMA CERITA
Kisah seorang bekas perajurit yang pernah berjasa kepada negara, berjaya menentang polimik cinta yang terhalang. Akhirnya dia akur kepada keperwiraannya dan tegak sebagai seorang bekas tentera yang berwawasan dan punya identiti tersendiri serta dihormati sepanjang hayatnya. Dengan azam dan tekad, dia berjuang sebagai perwira yang berjasa dan bukan sebagai pahlawan yang kecewa di medan cinta.

TEATER MUZIKAL PATRIOT
Tamatnya Perang Dunia ke-2 dan penyerahan kuasa tentera British kepada Angkatan Tentera Malaysia menjadi titik-tolak kepada Teater Muzikal Patriot, sebuah kisah perjuangan menentang tentera Jepun melibatkan 25 orang rekrut anak Melayu dari kompeni percubaan Askar Melayu di-Raja.

Yahya, antara seorang anggota rekrut yang dipilih menyahut cabaran negara dan kekasihnya, Sapura. Anak kelahiran desa ini mempunyai minat yang tinggi untuk menyertai angkatan tentera. Pada peringkat awal terasa impiannya tidak akan jadi nyata disebabkan memelihara ibu yang sudah tua.

Mejar G.M.S Bruce dari Regimen Lincolnshire dilantik menjadi Pegawai Memerintah pertama pasukan ini. Yahya dan rakan-rakannya yang lain merupakan kumpulan pertama dihantar ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menjalani latihan ketenteraan.

Memandangkan pembesaran pesat pasukan ini, Rejimen Askar Melayu ketika itu kekurangan pegawai. Empat orang askar yang berkebolehan telah dipilih untuk menjadi ketua platun dan dijadikan Pegawai Muda. Atas sikap dan kepimpinannya serta mempunyai disiplin yang tinggi, maka Yahya telah ditawarkan ke jawatan Pegawai Muda.

Malangnya disebabkan tiada berita dari medan perjuangan dan ada desas desus mengatakan Yahya telah gugur ketika berjuang menentang tentera Jepun, cinta Sapura telah beralih arah dan akhirnya memilih pemuda lain sebagai suaminya atas desakan Pak Long. Ayahnya yang mengutamakan wang dan kebendaaan. Yahya kecewa dengan sikap Sapura yang tidak sanggup menerima dugaan hingga menjadikan cintanya terlallu rapuh.


Ashraf Muslim sebagai Yahya



Zila Bakarin



Mama Rina sebagai ibu kepada Yahya



Aishah Atan



Lokman Ghani: Pengarah Artistik


Siapa Lokman Ghani?
Berasal dari Sekam Melaka, menerima pendidikan Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia. Lokman bermula sebagai penari dan berkembang menjadi koreografer. Pernah berlakon dalam banyak drama pentas seperti Bukit Keramat, Uda dan Dara, Bertam Bertam Bukan Semambu, Anak Tanjung, Tun Mamat, Puteri Gunung Ledang dan Julius Caesar.



Tuesday, July 15, 2008

GAMBAR ASHRAF MUSLIM DI SIDANG MEDIA PELANCARAN TEATER MUZIKAL PATRIOT: PART ONE

Tahniah kepada Ashraf Muslim kerana terpilih memegang watak utama dalam teater Muzikal Patriot. Pada 15 Julai lalu, Ashraf Muslim telah hadir di majlis pelancaran Teater Muzikal arahan Lokhman Ghani ini di Istana Budaya.

Kepada peminat jangan lupa untuk datang menyaksikan persembahan teater lakonan Ashraf Muslim pada 29 Julai hingga 3 Ogos 2008 ini. Dapatkan tiket anda sekarang di http://www.ticket2u.biz

Ashraf Muslim akan berlakon dengan pelakon baru dan lama dalam filem ini. Antaranya Raja Farah, Mahmud Ali Basha, Ziela Bakarin, Mama Rina, Dato' Jalaluddin Hassan, Baharudin Omar, Umi Nurfadhilah, Aishah Atan dan ramai lagi.

Ashraf Muslim - Patriot

Ashraf Muslim - Patriot

Ashraf Muslim - Patriot

Ashraf Muslim - Patriot