Monday, July 21, 2008

ASHRAF MUSLIM KINI 'GIAN' BERTEATER

21-07-2008 10:47:46 AM

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

SELEPAS membintangi teater Muzikal Patung Kertas, aktor Ashraf Muslim semakin 'gian' untuk berlakon teater lagi. Lantas, tawaran kedua untuk berlakon Teater Muzikal Patriot tidak dilepaskan begitu sahaja.

Ashraf berkata, “Setelah saya berlakon dalam teater, saya mula rasa ketagih untuk berlakon lagi. Ia macam candu. Selepas saya mencuba sekali, saya jadi ‘gian’ untuk berteater lagi.

“Berlakon dalam teater lebih memberi kepuasan kepada diri saya berbanding berlakon dalam drama. Insya Allah, saya akan terus berteater selagi diperlukan..”.

Jika sebelum ini, jejaka berusia 27 tahun ini melakonkan watak lelaki lembut atau mak nyah melalui teater pertamanya itu. Kali ini beliau diberi watak lelaki sejati iaitu seorang tentera Melayu yang berjuang di medan perang lingkungan era 40-an sehingga 60-an.

Namun begitu, Ashraf akui berlakon dalam Patriot lebih mudah berbanding Patung Kertas arahan Lokman Ghani.

"Watak Yahya Ariffin ini lebih kurang macam watak Leftenan Adnan. Wataknya lebih berkarisma sebab dia anak sulong. Tetapi apabila dia berjumpa dengan Sapura (Raja Farah), dia berubah menjadi manja.

"Dalam teater ini, akan ada babak saya masuk hutan. Kemudian, saya balik kampung dan menyatakan keinginan untuk berkahwin dengan Sapura.

"Namun, akhirnya dia rasa sedih dan tercabar apabila Sapura dinikahkan dengan sepupunya, Zulkifli (Mahmud Ali Basha). Jadi, ketika berperang, Yahya akan melepaskan perasaan marah dan geramnya," cerita Ashraf yang menerima watak tersebut kerana beliau merupakan bekas askar.

Kata Ashraf, beliau pernah bergelar Leftenan Muda selama setahun. Selepas itu, beliau melibatkan diri dalam perniagaan.

“Bila melihat keadaan diri saya, mungkin orang tak percaya yang saya pernah menjadi tentera dahulu.

“Tetapi, saya memang jenis gentleman, soft spoken kerana saya sudah diajar seperti itu. Sesuai dengan lakonan saya di dalam teater ini,” kata Ashraf.

Menyentuh tentang persediaan dan rujukan yang dibuat bagi memantapkan lakonan di dalam teater ini, Ashraf berkata, beliau membaca sejarah tentang Leftenan Adnan dan Bukit Kepong. Beliau juga banyak mengkaji tentang kisah benar Yahya yang orang tidak gembar-gemburkan.

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapinya, kata Ashraf, beliau baru dipanggil untuk berlakon dalam teater tersebut beberapa hari lalu.

“Ikutkan, pelakon sebenar watak Yahya adalah Muhamad Syukor Ibrahim. Tetapi, beliau sedang sakit sekarang. Jadi, saya mungkin akan bergilir-gilir dengannya untuk membawakan watak Yahya nanti.

“Bagaimanapun, saya tetap rasa ini merupakan tanggungjawab yang berat kerana ia ada kaitan dengan kisah benar. Saya takut kalau saya membuat silap. Jadi, saya banyak bertanya kepada Lokman dan Rahman,” jelasnya yang memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk menghayati sesuatu watak.

Ashraf juga menambah, “Ada dua babak sedih yang saya rasakan sukar untuk lakonkan. Jadi, saya perlu bayangkan wajah orang yang membuatkan saya sedih seperti watak Zulkifli dan Sapura.

“Itu yang saya belajar di dalam teater ini. Contohnya, saya bertanyakan kepada Zaibo, Rahman dan Lokman,” ujar pelakon drama bersiri Renjis di Astro Ria ini.

Ditanya tentang gandingannya bersama Farah, rasanya tidaklah timbul rasa kekok antara satu sama lain memandangkan Ashraf pernah bertemu dengan Farah di lokasi pengambaran drama bersiri Manjalara dahulu.

“Dalam teater ini, saya masih baru hendak mencari keserasian dengan Farah. Kadangkala, saya kena create skrip sendiri agar ada sense of humor antara kami,” beritahu Ashraf yang sedang intim dengan pelakon Sherry.

Selain membahagikan masanya untuk berlakon dalam Patriot, Ashraf juga perlu pandai meluangkan masa untuk berlakon dalam drama Dari Mata Arisa.

“Saya rasa stress juga apabila banyak benda nak tumpu sekarang,” luah Ashraf ringkas.

Selepas selesai berlakon dalam teater Patriot, Ashraf akan melakonkan watak seorang ustaz dalam sebuah drama untuk slot Seram arahan Ahmad Idham yang akan bermula pada bulan depan dan dijangka selesai pada September nanti.

Kata Ashraf, hubungannya dengan Sherry masih sama seperti dahulu dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Kami merancang untuk berduet bersama. Lagu duet yang kami nyanyikan akan dimuatkan dalam album Roy and Friends.

“Saya rasa tiada masalah untuk menyanyi dengannya kerana kami pernah karaoke bersama,” ujar Ashraf.

Saksikan Ashraf Muslim, Raja Farah, Zila Bakarin, Datuk Jalaluddin Hassan, Mama Rina AF6 dan ramai lagi dalam Teater Muzikal Patriot di Istana Budaya mulai 29 Julai ini hingga 3 Ogos depan.

2 comments:

guavaboy said...

best nye..
good looking..
talented guy...
pndai mngaji..
aku sgt suke ashraf muslim...
all d best k..

adeline said...

teruskan belajar dan membuat kebaikan..semoga Allah memberi taufiq dah hidayah serta rahmat di dunia dah akhirat..wishing u happiness n success in ur life.amin.