Monday, July 28, 2008

Cabaran Patriot

Oleh Rozdan Mazalan
Berita Harian

Gagal bentuk watak di pentas boleh jejaskan pementasan dan tidak dapat diulang kembali

OGOS adalah bulan yang ditunggu-tunggu perajurit negara. Bulan yang akan sentiasa dikenang selamanya pejuang negara apabila tanah air tercinta bebas dari cengkaman penjajah.

Pelbagai acara juga disusun setiap pihak yang bertanggungjawab untuk meraikan bulan kemerdekaan ini termasuklah Istana Budaya yang akan mementaskan Teater Muzikal Patriot mulai hari ini sehingga 3 Ogos depan.

Baru-baru ini, pelakon yang juga menjadi tunjang utama dalam pementasan itu dibawa sendiri menikmati suasana hutan yang mampu dijadikan inspirasi untuk dipersembahkan menerusi teater itu nanti. Pendekatan itu sekali gus memberi mood kepada pelakon untuk membangkitkan semangat dan menghayati watak yang dipertanggungjawab kepada mereka dengan lebih berkesan lagi.

Ashraf Muslim biarpun seorang pendatang baru dalam arena teater, namun pengalaman yang dilalui dalam bidang drama sebelum ini banyak membantu untuk mendapatkan penghayatan yang baik.

“Teater dan drama adalah salah satu bidang yang sama, namun masih mempunyai perbezaan yang ketara dari segi persembahannya. Bagi saya teater lebih susah berbanding drama.

“Segala yang berlaku di pentas adalah cermin apa yang kita usahakan selama ini. Gagal membentuk watak di pentas maka gagallah pementasan itu dan tidak akan dapat diulang kembali,” katanya yang mendapat skrip tiga minggu sebelum pementasan berlangsung.

Menurut Ashraf, teater Patriot menjadi cabaran besar buatnya memandangkan masa yang singkat untuk dirinya menghayati watak bakal mengujinya.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih selain menghafal skrip. Secara jujur saya banyak mendapat bantuan pengarah artistik, Lokman Ghani yang juga bapa saudara saya.

“Saya juga mula meminati teater ini atas desakannya yang banyak memberi pendedahan untuk menonton teater sebelum ini. Teater pertama yang saya tonton adalah Cheng Lock yang diarahkannya. Sejak itu saya mula meminati teater dan sempat juga saya bertanyakan dia kalau ada peluang untuk mencuba.

“Saya diuji dengan teater Patung-Patung yang baru dipentaskan awal tahun ini dan pengalaman itu cukup manis buat saya kerana terpaksa menjadi seorang pondan.

“Pada mulanya saya terkejut dan agak ragu-ragu untuk membawa watak itu memandangkan saya bukan orang yang macam itu. Tetapi apabila difikirkan pelakon lain pun yang bukan mempunyai jiwa macam itu tetapi berani menyahut cabaran maka saya beranikan diri untuk mencuba. Alhamdulillah saya juga tidak sangka kritikan positif saya terima dari kawan-kawan,” katanya yang memegang watak sebagai Yahya dan pernah ditauliah Leftenan Muda pada tahun 2001.

Patriot teater patriotik ketiga Syukor

SEORANG lagi pelakon, Muhamad Syukor Ibrahim yang juga memegang watak sebagai Yahya berganti-ganti dengan Ashraf bagaimanapun mempunyai pengalaman berbeza biarpun Patriot adalah teater patriotik ketiga lakonannya.

“Saya bermula dengan teater patriotik pertama berjudul Kesuma (2006) dan Tunku The Musical (2007), namun saya juga banyak mengikuti beberapa teater lain lagi yang tidak mempunyai unsur patriotik.

“Setiap teater mempunyai perbezaan, kekuatan dan cabaran tersendiri. Teater patriotik sebelum ini banyak menguji diri saya berkaitan vokal yang memaksa saya turut menyanyi.

“Kekuatannya apabila membawakan teater berbentuk patriotik kita harus menggunakan suara seriosa (baritone) yang selalu digunakan pelakon teater antarabangsa,” katanya yang dipilih semasa sesi uji bakat disebabkan kekuatan suaranya menepati teater patriotik.

Sementara, Zila Bakarin yang membawakan watak kecil sebagai Som, gadis kampung turut memainkan peranan yang penting dalam pementasan Patriot.

“Biarpun watak saya terlalu kecil namun saya percaya pengarah mempunyai sesuatu yang ingin disampaikan dalam pementasan itu dan sebab itu watak Som dimasukkan biarpun hanya untuk dua babak saja.

“Saya mula mendapat tawaran untuk pementasan itu sejak Februari lalu dan berlatih seperti biasa. Bagaimanapun untuk bulan terakhir ini saya mula menolak beberapa tawaran berlakon drama untuk menumpukan kepada latihan teater ini.

“Saya berharap dengan watak kecil seperti ini, saya masih mampu menyumbang sesuatu yang besar kepada penonton yang menyaksikan,” katanya.

SINOPSIS:

TEATER muzikal ini memaparkan perjuangan wira negara yang bernama Yahya. Pengorbanannya mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan agama sehingga namanya disanjung tinggi masyarakat.

Disamping mempertahankan negara daripada jajahan komunis, Yahya juga tidak terlepas mempunyai perasaan terhadap seorang gadis di kampungnya bernama Sapura.

Perhubungannya tidak mendapat restui bapa Sapura memandangkan Yahya seorang pemuda miskin. Bapa Sapura lebih mempercayai Zulkifli sepupu kepada Sapura untuk dijodohkan pasangan ini suatu hari nanti.

Dapatkah perhubungan Yahya dan Sapura diakhiri di jenjang pelamin atau cinta Zulkifli diterima Sapura.

INFO:

Pementasan Teater Muzikal Patriot yang dipentaskan sempena sambutan bulan kemerdekaan selain Kempen Rayuan Hari Pahlawan 2008 akan berlangsung mulai hari ini sehingga 3 Ogos 2008 bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya bermula jam 8.30 malam.

Patriot yang diterbitkan Aleena Communications Sdn Bhd turut mendapat kerjasama Istana Budaya. Ia diarahkan oleh Rahman Adam dan Lokman Ghani dan turut mendapatkan khidmat Datuk Suhaimi Md Zin (Pak Ngah) selaku pengarah muzik.

Antara pelakonnya seperti Raja Farah, Syarmila Rabbi, Mahmud Ali Basha, Zaibo, Datuk Jalaludin Hassan, Baharudin Omar, Zek Taipan, Mama Rina (AF), Aishah Atan dan ramai lagi.

Tiket untuk menyaksikan pementasan ini boleh didapati di box office Istana Budaya dengan menghubungi 03-40248715 atau 03-40265558. Tempahan juga boleh dibuat dengan melayari laman web www.istanabudaya.gov.my.

Tiket dijual dengan harga bermula RM20, RM30, RM50 dan RM150.

2 comments:

Janggeltrekker said...

Halluuu ..saya akan menonton musikal teater ini on this thursday.. and hope u doing a good job! komen akan diberi kemudian. PEACE!!

ShaDaDooWapBeDoop said...

Kpd ashraf muslim...
i came for Patriot on this one fine saturday.
it was my 1st theater and i love it.

that day, Yahya bukan u..
my frens said it supposed to be you..
and we started to make jokes on that matter..without noticing you were right behind us...

tatau la anda dgr atau tidak..
kalo dgr, sori la..i was just tryng to be funny to my friends.

kalo tak, lupekan saje.

peace!