Sunday, July 27, 2008

TEATER 'PATRIOT' SEMPENA HARI PAHLAWAN

Sempena sambutan Hari Pahlawan yang bakal tiba tidak lama lagi, Sekretariat Rayuan Hari Pahlawan telah merancang untuk mengadakan persembahan teater muzikal 'Patriot,' bagi mengisi tabung membantu perajurit.

Teater muzikal 'Patriot' akan dipersembahkan di Istana Budaya pada 29 Julai hingga 3 Ogos. Ianya dibawakan khas oleh Aleena Communication Sdn Bhd dan kerjasama dari Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Menurut pengarah juga penulis skrip bagi teater ini, Encik Ab. Rahman Adam, cerita ini berdasarkan semangat patriot yang ada dalam diri setiap pejuang.

“Bahkan, watak Yahya Ariffin merupakan satu metafor kepada semangat perjuangan itu,” tambahnya yang telah sekian lama tidak mengarah persembahan teater. Kali terakhir Ab. Rahman Adam mengarahkan teater ialah pada tahun 1968, teater 'Kubu Ketapang' di Victoria Theater, Singapura.

Sementara itu, bagi Ketua Pengarah Istana Budaya, pada musim ini, Istana Budaya membuat satu kelainan apabila menampilkan persembahan mengikut tema berkaitan.

“Sebagai contoh, untuk ulang tahun kemerdekaan ke 51 dan sambutan Hari Pahlawan, teater muzikal 'Patriot' akan dipersembahkan sesuai dengan tema tersebut. Ini tidak pernah dilakukan oleh Istana Budaya sebelum ini,” ulasnya dengan lebih lanjut.

Bagi pengarah teater 'Patung Kertas,' saudara Lokman Ghani, tugasnya untuk teater muzikal 'Patriot' agak berbeza. Kali ini, dia dilantik sebagai pengarah artistik, mengurus dari sudut props, pakaian dan sebagainya.

“Ini merupakan kali pertama saya melaksanakan tugas ini. Untuk teater ini, ianya memerlukan keperincian dan ketelitian, ia disebabkan teater 'period' memerlukan penyelidikan dan kajian,” ujarnya yang pernah mengarah teater 'Bukit Kepong.'

“Selain itu, pihak produksi akan membuat kejutan kepada penonton yang menonton persembahan teater. Kami juga mendapat kerjasama beberapa pihak bagi kenderaan tentera untuk merealisasikan persembahan nanti,” tambah Lokman lagi.

Bagi peminat-peminat Raja Farah pula, mereka pasti tidak sabar menanti kemunculan kali pertamanya di pentas teater. Pelakon yang baru berusia 20 tahun ini bakal membawa watak Safura, seorang gadis lemah lembut yang menjadi rebutan dua jejaka iaitu Yahya Ariffin dan Zulkifli.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam teater. Tawaran telah dibuat dua bulan dahulu. Bila difikirkan ingin mencuba sesuatu yang baru, maka, saya pergi ke uji bakat yang dibuat oleh pengarah, Encik Ab. Rahman Adam.”

“Namun, tidak sangka sama sekali, watak Safura telah ditawarkan kepada saya,” jelasnya dalam nada cukup gembira.

Dia ditanya apakah perbezaan berlakon filem dengan teater, Raja Farah berkata “Dari segi komitmen, teater memerlukan lebih tenaga, masa dan konsentrasi berbanding filem atau drama. Namun, jika dibandingkan dari aspek yang lain seperti skrip, pelakon teater mempunyai kelebihan kerana sering berlatih berdasarkan skrip yang sama setiap hari. Jadi, masalah tidak ingat skrip agak jarang berlaku.”

Jika sebelum ini, peminat-peminat tidak pernah melihat raja Farah menyanyi, teater 'Patriot' menjadi medan ujian untuknya menyampaikan nyanyian.

“Di dalam 'Patriot' saya perlu menyanyi untuk dua buah lagu solo dan sebuah duet. Pada mulanya, pengarah bertanya kepada saya samada ingin menggunakan penyanyi latar, atau suara sendiri. Akhirnya, memikirkan peluang yang ada, saya menggunakan suara sendiri,” ulasnya yang baru mengikuti kelas vokal untuk menyampaikan lagu dalam teater ini.

Di dalam teater 'Patung Kertas,' Ashraf Muslim membawakan watak sebagai Adik Chu, seorang mak nyah yang hidup di kota Kuala Lumpur. Namun, sekali lagi, dia mengambil peluang yang ditawarkan dengan memegang watak sebagai Yahya Ariffin di dalam produksi ini.

Yahya Ariffin merupakan seorang pemuda yang mempunyai semangat juang dalam mempertahankan negara dari penjajah. Namun, di sebalik ketangkasan dan semangat keperwiraan di dalam sanubarinya, masih ada nilai kasih sayang kepada kekasih hatinya, Sapura.

Ashraf Muslim diminta mengulas mengenai watak tersebut, ketika ditemui pada perlancaran teater 'Patriot' baru-baru ini.

“Jika hendak dikatakan ianya watak yang mencabar, bagi saya watak Adik Chu di dalam “Patung Kertas' lebih berat lagi. Lagipun, saya memang mempunyai latar belakang berkaitan ketenteraan semasa menuntut di universiti dulu. Bahkan, untuk produksi ini, saya juga terlibat mengajar pelakon lain berkawad,” terangnya.

Untuk menjiwai watak Yahya Ariffin ini pula, Ashraf menonton filem-filem berkaitan perjuangan seperti 'Bukit Kepong' dan 'Leftenan Adnan.' Ini merupakan filem yang menjadi rujukan utama bagi watak ini.

Dari satu pentas teater ke pentas yang lain, menjadikan dirinya cukup sinonim dengan dunia persembahan ini. Ashraf diminta menjelaskan antara lakonan dalam drama dan pementasan teater, yang mana lebih memberi satu kepuasan kepadanya.

“Saya akui, jiwa saya sekarang amat meminati pementasan teater. Ia umpama satu ketagihan kepada saya. Selepas sebuah teater, saya ingin terlibat lagi. Cukup memberi kepuasan. Tapi, ianya tidak bermakna saya akan terus meninggalkan dunia lakonan drama,” tambah Ashraf yang bakal berlakon di dalam sebuah drama seram terbaru arahan pengarah yang cukup dikenali.

Selain berlakon di dalam teater ini, Ashraf Muslim juga akan turut sama mendendangkan beberapa buah lagu termasuk sebuah lagu duet bersama pendatang baru dunia teater, Raja Farah.

Sebenarnya, teater muzikal 'Patriot' ini mempunyai keunikkan tersendiri. Jika Raja Farah diambil sebagai peneraju utama, walaupun baru menapak dalam bidang teater, Mama Rina, peserta paling tua di dalam sebuah program realiti televisyen juga sama-sama menonjolkan bakatnya dalam bidang ini.

Berbicara bagaimana dia boleh melibatkan diri dalam bidang seni teater ini, Mama Rina berkata, “Semuanya bermula apabila sekadar 'main-main' bertanya kepada sahabat saya, Lokman Ghani (Pengarah Artistik 'Patriot'), jika ada peluang untuk berlakon teater. Namun, Mama tidak sangka, gurauan itu menjadi realiti, apabila Lokman memanggil saya untuk diujibakat. Syukurlah, saya diterima,” ujarnya gembira.

Kala ditanya apakah perasaan kali pertama bukan sahaja dalam bidang teater, tetapi lakonan, dia menjawab “Perasaan Mama bercampur baur, takut ada, suka pun ada. Tapi Mama anggap ianya sebagai satu cabaran, dan akan buat yang terbaik.”

Selalu menjadi persoalan ialah usia. Adakah Mama Rina tidak merasakan sudah agak lanjut untuk terlibat dalam bidang ini, kerana memerlukan dia belajar pelbagai perkara, tuturnya, “Rasa Mama, kalau hendak mencari ilmu, tidak kisah berapa usia pun. Mama tidak reti hendak malu. Rezeki perlu dicari untuk menyara keluarga. Zaman dah berubah,” ajuknya sebuah iklan di televisyen.

Teater muzikal 'Patriot' yang bakal ditayangkan pada penghujung Julai sehingga awal Ogos ini bukan sahaja mempunyai keistimewaan dari sudut jalan cerita dan kejutan yang bakal penonton alami, bahkan, ianya membariskan nama-nama besar dalam industri hiburan tanahair.

Antara mereka yang terlibat ialah Raja Farah, Ashraf Muslim, Ziela Bakarin, Mahmud Ali Basha, Zaibo, Dato' Jalaluddin Hassan, Zek Taipan, Aishah Atan, Baharuddin Omar dan ramai lagi.

'Patriot' memaparkan perjuangan wira negara bernama Yahya Arifin, sanggup berkorban demi negara. Pengorbanan yang terselit di tengah-tengah kisah cinta antara Yahya dan Sapura.

Namun, perhubungan mereka terhalang oleh orang ketiga iaitu Zulkifli. Adakah disebabkan ini, semangat perjuangannya terpadam di tengah perjuangan dan dapatkah mereka melayari hidup bahagia selama-lamanya?

Saksikan, teater muzikal 'Patriot' yang bakal ditayangkan kerana “Cinta memerlukan pengorbanan; hanya mereka yang rela berkorban tahu akan erti cinta yang sebenarnya...”

No comments: