Sunday, August 10, 2008

AWALAN ASHRAF

DIA duduk di kerusi sebelah saya semasa saya bertanyakan horoskopnya?
“Bintang Virgo,” senyum saja jejaka ini menjawab. Tetapi dia tidak pula tahu apakah ciri seorang Virgo.

Namun setahunya, Ashraf Muslim bersifat tegas, bercakap dalam nada yang lemah lembut dan penyabar.

Sambungnya lagi, namun apabila marah, dia akan bercakap terus terang hingga boleh menyebabkan seseorang sakit hati.

Mahu cari duit

Kata Ashraf, tujuan asal melibatkan diri dalam bidang hiburan adalah disebabkan wang.

“Saya akui penglibatan awal saya hanya kerana duit. Boleh saya katakan saya menggunakan pentas lakonan sebagai batu loncatan untuk bidang perniagaan.”

Katanya, dia hanya mencuba nasib pada langkah pertamanya. Tidak sangka pula dunia boleh bertukar rupa apabila percubaan awal itu disambut baik khalayak.

Lakonannya dalam siri Impian Ilyana membuka mata individu lain untuk memanjangkan usia kariernya bergelar pelakon.

“Saya mahu saban hari lakonan saya nampak lebih bagus dan terus bagus,” ujar Ashraf yang kemudian muncul dalam siri drama Impak Maksima dan telemovie Jangan Lupa.

Ashraf

Perjalanannya untuk bergelar pelakon berjalan dengan cantik. Pada usia 27 tahun, sudah 40 peratus yang dicitakan menjadi nyata.

Selalunya apa yang dirancang adalah secara tahunan dan dia semakin melihat jumlah bakat itu bertukar kepada bentuk wang ringgit.

“Saya mahu pada usia 30 tahun, saya betul-betul stabil. Hanya tinggal tiga tahun untuk merealisasikan cita-cita itu.

Ashraf

“Saya tahu lakonan bukanlah sesuatu yang akan saya bawa sampai ke tua. Saya akan berhenti bila tidak diperlukan lagi,” ujarnya lagi.

Apabila melihat dia penuh antusias bercerita tentang wang ringgit yang merupakan topik utama perbualan, saya bertanyakan sejauh mana faktor itu mempengaruhi seorang Ashraf Muslim.

Dia masih dalam senyum yang sama, menampakkan barisan gigi yang cantik tersusun. Katanya: “Simbol RM itu penting dalam kehidupan.

“Tapi dalam mengejar itu semua, satu yang saya pentingkan adalah agar ia tidak membuatkan hidup saya sia-sia.

“Saya mahukan kebahagiaan dan hidup yang berjalan lancar tetapi kita juga tidak boleh menolak bahawa duit itu sangat penting.”

Diminati lelaki
Percubaannya mendekati teater mendapat perhatian ramai. Bukan hanya kerana langkah sulungnya ke teater tetapi disebabkan watak pertama yang dibawakannya.

Patung Kertas menyaksikan Ashraf berubah menjadi mak nyah di samping pelakon Jalaluddin Hassan.

Umum tahu tentang persiapannya membawakan watak seorang draq queen. Daripada atur percakapan hinggalah liuk lentok badan dipelajarinya.

Tutur Ashraf, suatu ketika dahulu dia pernah membenci golongan itu dan memandang rendah kepada mereka. Namun pembabitan dalam teater ini menyedarkannya supaya jangan menghukum manusia tanpa usul periksa.

“Apa yang perlu kita ketahui ialah kenapa dan bagaimana mereka jadi begitu. Itu yang mahu saya sampaikan.”

Sebelum dia bercerita lanjut tentang teater yang telah pun selesai itu, saya terus bertanyakan impak terhadap lakonannya dengan membawakan watak tersebut. Khabarnya dia bukan sahaja diminati kaum hawa, malah kaum sejenisnya juga.

Ashraf yang tetap dengan pendiriannya untuk tidak pernah mahu hipokrit, menjawab tenang: “Saya akui memang ada yang mahu berkawan.

“Saya jenis yang berkawan dengan sesiapa saja. Tetapi apabila sampai satu peringkat di mana mereka mula membuat panggilan dan melayangkan SMS, saya tidak suka dan mengelak itu semua.

“Ya, saya tahu mereka mungkin peminat, tapi peminat juga ada hadnya. Kalau mereka telefon, saya jawab dan cakap elok-elok. Tapi kadangkala ada juga yang tidak faham hingga membuatkan saya menegur dengan kata-kata sinis dan menyakitkan.”

Idam konsep santai

Sewaktu ditemu ramah, Ashraf hadir dengan teman-teman yang sama bergilaan dalam drama bersiri Renjis. Ikatan kimia mereka jelas kelihatan dan mereka senang bersama.

Melalui Renjis, Ashraf membawakan watak Kelana, jejaka yang gila-gila. Dan kegilaan itu membuatkan Ashraf senang dengan pihak produksi dan menganggap drama ini menarik kerana konsepnya.

“Seronok kerana pada setiap episod, ia memaparkan karakter yang berlainan. Renjis juga menyentuh hal cinta dan diselitkan dengan humor yang santai,” ujarnya yang kemudian ditemani Sherry seketika.

Sherry Ibrahim juga merupakan tulang belakang bagi drama yang disiarkan di Astro Ria pukul 9.30 malam pada Rabu dan bakal berakhir pada 13 Ogos ini.

Drama yang berlatarbelakangkan kisah perkahwinan ini turut membuatkan Ashraf melayangkan fikirannya tentang perkahwinan yang suatu hari nanti bakal direalitikan.

“Saya idamkan perkahwinan yang sederhana tetapi berjalan lancar. Sebenarnya banyak impian perkahwinan saya. Tapi saya tidak mahu buat besar-besaran.

“Cukup ia cantik dalam santai. Yang penting, saya mahu makanannya sedap dan semua wartawan hadir.”

Apabila saya tanyakan adakah impian perkahwinan itu nampak jalannya bersama Sherry, pelakon yang sekarang dekat dengan Ashraf, jawapannya mudah dan biasa didengar: “Kalau ada jodoh insya-Allah.”

“Sheery adalah teman tapi mesra. Saya dan dia senang memahami diri masing-masing dan banyak perkara kami kongsi bersama. Dia ajar saya banyak tentang fesyen.

“Dia cantik. Dan dia tahu apa yang saya mahukan, perihal visi dan misi saya,” ujar Ashraf panjang lebar. Ia cukup membuatkan semua faham apa maksud ‘teman tapi mesranya’.

Ashraf

Tuesday, August 5, 2008

TERBARU DARI ASHRAF MUSLIM

Ashraf baru sahaja selesai berlakon dalam teater muzikal Patriot. Memang suka dan minat sangat berlakon teater. Orang kata, Ashraf dah gian untuk berlakon teater. Apa taknya, dengan berlakon teaterlah Ashraf dapat belajar menghayati watak dan membina karakter tersendiri dalam setiap lakonan.

Jangan lupa kepada peminat semua, Ashraf akan berlakon dalam sebuah lagi teater besar yang akan berada di Istana Budaya nanti. Ashraf rasa ramai dah tahu tajuk teater tersebut... yang tak tahu tu, cubalah teka. Klunya, teater ini diarahkan oleh Ahmad Idham.

Terbaru, selepas selesai teater Patriot, tidak bermakna Ashraf dapat berehat. Banyak lagi kerja yang perlu dibuat. Hari ini, Ashraf ada rakaman sebuah program game show di NTV7. Pada mulanya Ashraf rancang nak berpasangan dengan Sherry Ibrahim tetapi Sherry tidak dapat hadir. Jadi, terpaksalah Ashraf berpasangan dengan Yatt.

Untuk drama terbaru, pada esok (7 Ogos), Ashraf akan mula masuk lokasi sebuah drama yang berjudul Ni Yang Ratip. Drama ini akan menggantikan drama Kekasihku Seru dan bakal mengisi slot Seram di TV3. Diarahkan oleh Ahmad Idham, Ashraf rasa sangat teruja sebab watak yang Ashraf pegang kali ini lain sikit. Percaya tak, Ashraf akan berlakon watak seorang Ustaz pula bernama Ustaz Amirul. Seorang ustaz yang berperwatakan alim, baik, berpegetahuan tinggi dalam agama, warak dan pandai mengaji. Ramai tak percaya, Ashraf dapat mengaji Quran dengan baik. Termasuklah pengarah drama ini sendiri. Alhamdulilah, Ashraf rasa bersyukur sebab dapat berlakon di bawah arahan Ahmad Idham dan Ashraf akan berikan kerjasama sepenuh hati untuk drama ini.

Ini adalah kali pertama Ashraf berlakon untuk sebuah drama seram. Drama 13 episod ini mengisahkan tentang amalan dan kepercayaan seorang bomoh di sebuah kampung yang bernama Niang Ratib. Orang kampung tersebut terlalu taksub dan mempercayai segala amalan dan ajaran bomoh tersebut walaupun ajaran tersebut sesat dan tidak betul. Kehadiran Ustaz Amirul telah mengubah persepsi orang kampung. Ini menjadikan bomoh itu marah dan cuba buat perkara yang tidak baik kepada Ustaz Amirul. Berjayakah bomoh tersebut melakukannya? Itu korang kena tonton drama ini. Selain Ashraf, drama ini akan dilakonkan oleh Liyana Jasmay, Fauzi Nawawi dan ramai lagi.

Sunday, August 3, 2008

TEMUBUAL BUDIEY BERSAMA ASHRAF MUSLIM TEATER PATRIOT

Ashraf Muslim di Malam Gala Teater Muzikal Patriot

Jam 8 malam, 3 Ogos 2008, telah berlangsung malam gala Teater Muzikal Patriot di Istana Budaya. Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan para kenamaan yang lain.

Ini merupakan kali kedua Budiey menonton teater muzikal lakonan Ashraf Muslim yang memegang watak Yahya, seorang askar yang begitu cintakan kekasih dan negaranya. Teman wanita Ashraf Muslim, Sherry Ibrahum juga turut sama hadir bersama dengan pelakon Thumb.

Berbeza dengan malam pra tonton media, ternyata untuk malam gala ini banyak sekali pembaharuan yang telah dinaiktaraf seperti sistem bunyi, skrip, olahan artistik dan juga mutu lakonan serta penghayatan pelakon. Syabas untuk semua yang terlibat dengan teater ini.


Pasangan bahagia



Karakter Yahya; Patriot pejuang bangsa



Sherry Ibrahim bersama Thumb, baru sahaja selesai shooting program raya. Letih sangat kata Thumb.



Ramai betul peminat Ashraf Muslim beratur nak sign autograph