Sunday, August 10, 2008

AWALAN ASHRAF

DIA duduk di kerusi sebelah saya semasa saya bertanyakan horoskopnya?
“Bintang Virgo,” senyum saja jejaka ini menjawab. Tetapi dia tidak pula tahu apakah ciri seorang Virgo.

Namun setahunya, Ashraf Muslim bersifat tegas, bercakap dalam nada yang lemah lembut dan penyabar.

Sambungnya lagi, namun apabila marah, dia akan bercakap terus terang hingga boleh menyebabkan seseorang sakit hati.

Mahu cari duit

Kata Ashraf, tujuan asal melibatkan diri dalam bidang hiburan adalah disebabkan wang.

“Saya akui penglibatan awal saya hanya kerana duit. Boleh saya katakan saya menggunakan pentas lakonan sebagai batu loncatan untuk bidang perniagaan.”

Katanya, dia hanya mencuba nasib pada langkah pertamanya. Tidak sangka pula dunia boleh bertukar rupa apabila percubaan awal itu disambut baik khalayak.

Lakonannya dalam siri Impian Ilyana membuka mata individu lain untuk memanjangkan usia kariernya bergelar pelakon.

“Saya mahu saban hari lakonan saya nampak lebih bagus dan terus bagus,” ujar Ashraf yang kemudian muncul dalam siri drama Impak Maksima dan telemovie Jangan Lupa.

Ashraf

Perjalanannya untuk bergelar pelakon berjalan dengan cantik. Pada usia 27 tahun, sudah 40 peratus yang dicitakan menjadi nyata.

Selalunya apa yang dirancang adalah secara tahunan dan dia semakin melihat jumlah bakat itu bertukar kepada bentuk wang ringgit.

“Saya mahu pada usia 30 tahun, saya betul-betul stabil. Hanya tinggal tiga tahun untuk merealisasikan cita-cita itu.

Ashraf

“Saya tahu lakonan bukanlah sesuatu yang akan saya bawa sampai ke tua. Saya akan berhenti bila tidak diperlukan lagi,” ujarnya lagi.

Apabila melihat dia penuh antusias bercerita tentang wang ringgit yang merupakan topik utama perbualan, saya bertanyakan sejauh mana faktor itu mempengaruhi seorang Ashraf Muslim.

Dia masih dalam senyum yang sama, menampakkan barisan gigi yang cantik tersusun. Katanya: “Simbol RM itu penting dalam kehidupan.

“Tapi dalam mengejar itu semua, satu yang saya pentingkan adalah agar ia tidak membuatkan hidup saya sia-sia.

“Saya mahukan kebahagiaan dan hidup yang berjalan lancar tetapi kita juga tidak boleh menolak bahawa duit itu sangat penting.”

Diminati lelaki
Percubaannya mendekati teater mendapat perhatian ramai. Bukan hanya kerana langkah sulungnya ke teater tetapi disebabkan watak pertama yang dibawakannya.

Patung Kertas menyaksikan Ashraf berubah menjadi mak nyah di samping pelakon Jalaluddin Hassan.

Umum tahu tentang persiapannya membawakan watak seorang draq queen. Daripada atur percakapan hinggalah liuk lentok badan dipelajarinya.

Tutur Ashraf, suatu ketika dahulu dia pernah membenci golongan itu dan memandang rendah kepada mereka. Namun pembabitan dalam teater ini menyedarkannya supaya jangan menghukum manusia tanpa usul periksa.

“Apa yang perlu kita ketahui ialah kenapa dan bagaimana mereka jadi begitu. Itu yang mahu saya sampaikan.”

Sebelum dia bercerita lanjut tentang teater yang telah pun selesai itu, saya terus bertanyakan impak terhadap lakonannya dengan membawakan watak tersebut. Khabarnya dia bukan sahaja diminati kaum hawa, malah kaum sejenisnya juga.

Ashraf yang tetap dengan pendiriannya untuk tidak pernah mahu hipokrit, menjawab tenang: “Saya akui memang ada yang mahu berkawan.

“Saya jenis yang berkawan dengan sesiapa saja. Tetapi apabila sampai satu peringkat di mana mereka mula membuat panggilan dan melayangkan SMS, saya tidak suka dan mengelak itu semua.

“Ya, saya tahu mereka mungkin peminat, tapi peminat juga ada hadnya. Kalau mereka telefon, saya jawab dan cakap elok-elok. Tapi kadangkala ada juga yang tidak faham hingga membuatkan saya menegur dengan kata-kata sinis dan menyakitkan.”

Idam konsep santai

Sewaktu ditemu ramah, Ashraf hadir dengan teman-teman yang sama bergilaan dalam drama bersiri Renjis. Ikatan kimia mereka jelas kelihatan dan mereka senang bersama.

Melalui Renjis, Ashraf membawakan watak Kelana, jejaka yang gila-gila. Dan kegilaan itu membuatkan Ashraf senang dengan pihak produksi dan menganggap drama ini menarik kerana konsepnya.

“Seronok kerana pada setiap episod, ia memaparkan karakter yang berlainan. Renjis juga menyentuh hal cinta dan diselitkan dengan humor yang santai,” ujarnya yang kemudian ditemani Sherry seketika.

Sherry Ibrahim juga merupakan tulang belakang bagi drama yang disiarkan di Astro Ria pukul 9.30 malam pada Rabu dan bakal berakhir pada 13 Ogos ini.

Drama yang berlatarbelakangkan kisah perkahwinan ini turut membuatkan Ashraf melayangkan fikirannya tentang perkahwinan yang suatu hari nanti bakal direalitikan.

“Saya idamkan perkahwinan yang sederhana tetapi berjalan lancar. Sebenarnya banyak impian perkahwinan saya. Tapi saya tidak mahu buat besar-besaran.

“Cukup ia cantik dalam santai. Yang penting, saya mahu makanannya sedap dan semua wartawan hadir.”

Apabila saya tanyakan adakah impian perkahwinan itu nampak jalannya bersama Sherry, pelakon yang sekarang dekat dengan Ashraf, jawapannya mudah dan biasa didengar: “Kalau ada jodoh insya-Allah.”

“Sheery adalah teman tapi mesra. Saya dan dia senang memahami diri masing-masing dan banyak perkara kami kongsi bersama. Dia ajar saya banyak tentang fesyen.

“Dia cantik. Dan dia tahu apa yang saya mahukan, perihal visi dan misi saya,” ujar Ashraf panjang lebar. Ia cukup membuatkan semua faham apa maksud ‘teman tapi mesranya’.

Ashraf

5 comments:

IdzaRis said...

anak sy suka karekter u dlm dlm cerita dibawah ketiak isteri...
tahniah..

Shima_nasham said...

hye..sekom..we all ske tgok u dlm teater ptung kertas....lembot sgat,sbijik la mcm mak nyah..bgus2..gud job..gandakan usaha anda lgi n slamat berpuasa..dr kami,shima,shibah,zue n hajar... :)

guavaboy said...

ellopz ashmee..
huhu..
truzkan usahe tok brjaye byk lgi...
boy support ashmee giler2 ..
A.L.L.T.H.E.B.E.S.T...
klau ade ksempatan visit blog boy n bg a komen skali k..
hehe..

Aya said...

Assalamualaikum.. Sy Aya dr Aceh.. Slm knal ya.. Sy suka nntn km di Juanna wlaupn cm bntar :'( sukses trus ya..;-)

La Dolce Life's said...

suka ler pic yang baju kuning tu... ada claz..... hehehe