Saturday, October 4, 2008

ASHRAF AJAK SHERRY BALIK KAMPUNG

Cuma, adatlah sebagai manusia ada yang harus disimpan sebagai hak peribadi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergelar ‘selebriti’. Jika terlalu terbuka, barangkali kesannya mampu membunuh karier seni.

mainpix


Atas sebab musabab itu, pasangan selebriti muda popular, Mohd Ashraf Muslim (Ashraf), 27, dan Sherry Ibrahim (Sherry), 25, memohon supaya kisah cinta mereka tidak terlalu digembar-gemburkan.

Yang pasti, keikhlasan Ashraf terhadap kekasihnya bukan sekadar gurauan kerana Sherry sudah diperkenalkan kepada keluarganya.

“Sherry pernah bertemu orang tua saya, malah dia juga pernah ke kampung saya di Melaka sewaktu majlis perkahwinan adik beberapa bulan lalu.

“Sempena lebaran yang mulia ini saya juga mengundang Sherry untuk berhari raya bersama saya di kampung selepas dia meraikannya bersama keluarga,” kata Ashraf.

Ditanya, apakah dia ada perancangan mengakhiri kasih terjalin lebih setahun itu dengan sebuah ikatan suci perkahwinan, jujur Ashraf mengakui begitulah diharapkan akhirnya sebuah percintaan.

“Ada jodoh adalah tu... dalam dunia ini tiada siapa suka putus cinta, tambahan pula kalau kita dah sayangkan orang itu,” katanya.

Sherry yang tersipu malu mendengar pengakuan ikhlas Ashraf mencelah, buat masa ini mereka belum bersedia membicarakan soal perkahwinan kerana sebagai artis baru, masih banyak yang perlu mereka kejar.

“Perjalanan masih jauh. Namun, jujur saya katakan saya selesa bersama Ashraf, juga keluarganya. Mereka ‘sporting’ tetapi masih menerapkan nilai-nilai kekeluargaan tinggi selain mempunyai latar belakang agama yang kuat,” akui Sherry.

Sepakat mengatakan lebaran kali ini cukup bermakna, Ashraf dan Sherry ingin memanfaatkan detik manis itu bersama keluarga tercinta kerana sepanjang tahun ini mereka berdua bekerja keras untuk membina nama.

Jika Ashraf kini di Alor Gajah, Melaka, Sherry pula mungkin bergembira di Alor Star, Kedah atau Kuang, Selangor bersama ibu bapa, dua beradik perempuannya serta sanak saudara.

Mana tidaknya, sepanjang Ramadan lalu kedua-duanya sibuk dengan penggambaran drama.

Sherry yang juga bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) misalnya terbabit dengan penggambaran drama 13 episod, Renjis 2 dan Di Bawah Ketiak Isteri.

Ashraf pula terbabit dengan penggambaran Niyang Rapik yang menggantikan Kekasihku Seru untuk Slot Seram di TV3.

Produk terbitan Excellent Pictures dan diarahkan oleh Ahmad Idham ini dibintangi nama besar, antaranya Liyana Jasmay, Fauzi Nawawi, Khatijah Tan dan Abu Bakar Omar.

“Saya memegang watak ustaz Amirul yang datang ke sebuah kampung untuk membantu bapa saudaranya yang juga seorang imam.

“Kehadiran Amirul tidak disenangi Niyang Rapik kerana sejak kedatangan Amirul, penduduk di situ mula kembali percaya pada ajaran Islam serta tidak lagi bergantung nasib pada ramalan Niyang Rapik.

“Gara-gara tidak puas hati, saya disihir, disantau dan bermacam lagi ilmu hitam digunakan untuk membalas dendam,” katanya.

Profil Ashraf

NAMA: Ashraf Muslim

LAHIR: 19 September 1981 di Teluk Mas, Melaka

TINGGI: 180 sm

BERAT: 67 kg

KELUARGA: Anak sulung daripada tujuh beradik

PENDIDIKAN: Diploma Pentadbiran Perniagaan (Kuala Lumpur Infrastructure

University College)

KERJAYA: Ahli perniagaan dan pelakon

DRAMA: Impian Illyana, Manjalara, Impak Maksima, Lagu Cinta Kita, Anumerta, UP: Hati dan Rumah Depan Sebelah Kedai

Profil Sherry


NAMA: Sherry Ibrahim

LAHIR: 3 April 1983 di Petaling Jaya

TINGGI: 160sm

BERAT: 45 kilogram

KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik

KERJAYA: Pelakon dan model

DRAMA: Dunia Baru musim ke-2, Cinta Tak Bertepi, Jelatang, Elly, Dunia Baru ke-3 dan Akademi Polis

FILEM: Malaikat Maut