Thursday, August 26, 2010

Angin baru Ashraf Muslim

Angin baru Ashraf
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2010/08/26
KETIKA jejaka ini muncul pada majlis pelancaran musim ketiga program realiti Gadis Melayu, perwatakannya jauh berbeza dengan Ashraf Muslim yang dulu.

Dia yang segak dengan baju Melayu rona jingga lembut, kelihatan sedikit pendiam berbanding perwatakannya sebelum ini yang peramah dan ceria. Dia lebih serius, tutur katanya pula disusun penuh berhati-hati.

Temu bual antara media dengan pemuda berasal dari Telok Mas, Melaka itu tidak dapat berlangsung lama kerana dia perlu memulakan tugasnya mengacarakan majlis. Selesai majlis, Ashraf memohon diri untuk beransur kerana mahu menunaikan solat tarawih di Gombak.

Gara-gara kesuntukan masa, banyak soalan yang mahu diajukan tidak berjawab malam itu. Lalu, satu temu bual lain diatur menerusi telefon. Dalam kesibukannya yang mahu bergegas ke lokasi penggambaran, jejaka berusia 29 tahun itu masih sudi menjawab panggilan Hip.

Akui anak sulung dari lapan beradik ini, sejak menjadi Tenaga Pengamal Perubatan Islam melalui a-Quran di Syifa Al Hidayah sejak setahun lalu, dia mula berubah dan cuba mengawal diri.

"Saya masih orang yang sama. Cuma kini saya lebih menjaga percakapan. Memang saya akui saya kurang bercakap dan tidak lagi ligat seperti dulu. Sejak terbabit dengan ilmu perubatan ini, maruah diri juga perlu saya jaga dengan lebih baik lagi.

"Pemikiran dan wawasan saya juga berbeza, tidak lagi seperti dulu. Kini saya tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Dulu fokus saya hanya pada kerja, tetapi sekarang saya perlu seimbangkan antara dunia dan akhirat," kata Ashraf.
Sejak bergelar pengamal perubatan alternatif cara Islam, Ashraf menemui ketenangan kerana dapat membantu mereka yang memerlukan terutamanya penderita kanser. Malah, masanya kini dibahagi dua antara kerjaya seni dan tugasnya sebagai pengamal perubatan alternatif.

"Biasanya selepas penggambaran, saya akan bergegas ke Gombak untuk membantu Haji Lokman (pemilik pusat rawatan berkenaan). Di situ memang hanya kami saja yang mengubat orang, sebab itu jika sesiapa yang berhasrat untuk berubat perlu membuat temu janji terlebih dulu.

"Setakat bulan Ogos, sudah ada 7,000 pesakit berada dalam senarai menunggu sehingga bulan Mac tahun depan. Kami tidak menggunakan perantara untuk merawat pesakit, sebaliknya semuanya hanya berpandukan kepada ayat al-Quran saja," terang Ashraf lagi.

Melihat kesungguhannya dengan 'cinta' barunya itu, Hip bertanya mungkinkah satu hari nanti dia tidak teragak-agak meninggalkan dunia hiburan dan memberikan 100 peratus fokus kepada tugas barunya itu.

Jawab Ashraf, dia tidak menolak jika itu yang akan berlaku dalam perjalanan kehidupannya. Namun setakat ini, gurunya tidak pernah menghalangnya daripada meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

"Dia tak pernah menghalang, tetapi saya sendiri yang perlu fikir. Bagi saya tak salah jika mahu terus berlakon tetapi saya perlu fikir sampai saya ingin melakukannya hingga ke tahap mana. Sebenarnya saya lebih suka berniaga tetapi entah bagaimana kecenderungan saya kini terarah kepada dunia lakonan dan saya menganggap ia sebagai tanggungjawab," katanya.

Ramadan dan Syawal tanpa ibu

KETIADAAN insan tercinta bernama ibu yang kembali ke rahmatullah sejak lima tahun lalu masih dirasai pemuda ini.

Katanya, ketiadaan ibu menyebabkan Ramadan dan Syawal terasa cukup berbeza.
Kalau sebelum ini, ibunya adalah orang yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah untuk anak-anak, tetapi kini, Ashraf dan adik-adiknya terpaksa berdikari.

"Walaupun emak sudah lima tahun meninggal dunia, tetapi kerinduan dan bayangannya masih lagi bermain di fikiran.

"Kalau dulu, apa bila tiba bulan puasa, perkara paling utama yang akan kami lakukan adalah berbuka bersama-sama. Tetapi sekarang ini saya lebih banyak makan makanan bungkus. Bila berbuka puasa di rumah rakan-rakan atau saudara mara pula, mulalah teringat kenangan bersama arwah emak.

"Jika hari raya pula selalunya ada juga tolong emak di dapur. Biasanya pada
malam raya akan tidur lewat, tetapi sejak emak tiada saya hanya akan pulang ke kampung pada pagi raya. Alhamdulillah walaupun emak sudah tiada, hubungan kami adik beradik masih kuat.

Kami adik beradik tinggal merata-rata tetapi ada juga adik yang tinggal bersama. Jadi sesekali kami buat temu janji untuk berjumpa. Sebagai abang sulung, saya kasihan melihat adik-adik yang membesar tanpa kasih sayang emak sepenuhnya. Kalau saya yang sudah besar terasa kehilangan emak, apatah lagi mereka yang ketika itu masih kecil serta masih memerlukan memerlukan kasih sayang seorang emak," kata Ashraf yang merindui kuah kacang air tangan ibunya yang meninggal dunia akibat barah payu dara.

Sunday, August 15, 2010

Gadis Melayu Sejati Pilihan Ashraf Muslim

BAGI pengacara program realiti Gadis Melayu musim ketiga, Mohd Ashraf Muslim, seorang ikon Gadis Melayu perlu memiliki tiga kriteria penting.

Tiga kriteria tersebut ialah dia perlu mendukung adat resam, budaya dan agama.

"Kalau salah satu daripada tiga kriteria tersebut tidak wujud, maka dia tidak layak digelar seorang ikon Gadis Melayu," katanya kepada mStar Online semasa pengumuman sembilan finalis Gadis Melayu di restoran Bora Asmara, Jumaat.

ashraf muslim

Ashraf Muslim

Ditanya siapa di kalangan peserta yang memiliki ketiga-tiga kriteria tersebut, pelakon utama Polis Gerakan Marin (PGM) itu tidak dapat mengenalpastikan calon paling sesuai.

Katanya, ini kerana masih terlalu awal untuk membuat penilaian dan dia baru berpeluang menemui mereka pada hari tersebut.

Dalam pada itu, Ashraf turut tidak menolak kemungkinan jika bakal jatuh hati dengan salah seorang peserta tersebut.

"Saya tak pernah fikir perkara sedemikian. Namun jika sudah ditakdirkan saya akan jatuh hati atau bertemu jodoh di sini saya tak akan menolak.

Bagaimanapun, tanggungjawabnya adalah menghoskan acara Gadis Melayu dengan sebaik-baiknya.

"Kalau orang lain nak cakap apa-apa, terpulang kepada mereka," ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran PGM.